Halaman

Friday 7 September 2012

Warkah ketiga


 Surat untuk bangsa: Pantun tiga puluh enam



Surat ditinta berangkap pantun,
Moga di hati semat tertanam,
Maaf kalau bahasa tak santun,
Inilah pantun tiga puluh enam.

Pantun tiga puluh enam;

Anak muda jiwanya kosong,
Isilah dengan semangat perkasa,
Jangan digalak perkara terpesong,
Nanti boleh meruntuh bangsa.

Anak muda kosong jiwanya,
Seperti tikus di dalam kotak,
Kotak diketuk mencicip bunyinya,
Itulah tanda dia berontak.

Jiwa yang kosong perlu diisi,
Seperti minyak kemas ditatang,
Ilmu berguna buat penyeri,
Baharulah jadi orang yang matang.

Tiada ilmu tersesat jalan,
Lorong gelap dikatakan cerah,
Bagai orang hilang pedoman,
Sudah terhantuk baharu terngadah.

Kalau terhantuk kemudian terngadah,
Itu petanda belum terlambat,
Elok dibuat perkara berfaedah,
Baharu kita mendapat manfaat.

Buatlah perkara beri manfaat,
Jangan dibuat yang dapat musibah,
Kepada yang tua wajarlah hormat,
Baharulah berkat bertambah-tambah.

Elok dijaga tingkah dan tutur,
Biar berkias jangan menyeksa,
Benarlah kata orang berumur,
Budi bahasa melambang bangsa.

Waktu berjalan tunduklah badan,
Kalau melintas orang berusia,
Elok bersopan hulurkan tangan,
Barulah aman hidup di dunia.

Jadi biadap janganlah pernah,
Tidaklah rugi kalau bersopan,
Sungguh busuk hati bernanah,
Perit dibalas lepas dikafan.

Aurat diberi untuk dijaga,
Bukan untuk dibuka siar,
Sungguh manis tempat di Syurga,
Kerana mendiri tegaknya syiar.

Jangan dituduh mengata pun jangan,
Memfitnah usah sekali-kali,
Nanti dihulur di kiri tangan,
Kerana dosa sudah dibeli.

Janganlah jadi orang yang bakhil,
Zakat sedekah wajiblah kamu,
Berbuat salah kerana jahil,
Itulah perlu jadi berilmu,

Mencari ilmu janganlah malas,
Carilah sampai ke negeri China,
Baik buruk semua berbalas,
Jadilah kita orang berguna.

Masa tidak pernah menunggu,
Kalau tertinggal rugilah kita,
Jahil itu bagai dibelenggu,
Seperti orang matanya buta.

Kalau buta melihat dunia,
Carilah tongkat buat berjalan,
Jangan terlalu mengejar harta,
Sampai terlupa baiki amalan.

Kalau hendak miliki harta,
Usahalah sampai ke tulang putih,
Jangan hanya tahu meminta,
Kalau tidak berterima kasih.

Jangan terbuai hidup yang senang,
Kalau tak sedia waktu merana,
Nasihat orang jangan dibuang,
Nanti kelak tidak ke mana.

Hidup merana saat di dunia,
Andai tidak berkasih sayang,
Kalau mahu bahagia di dunia,
Ibu dan ayah jangan dibuang,

Kasihlah ibu sayanglah ayah,
Jangan buat mereka kecewa,
Ciumlah ibu hormatlah ayah,
Selagi mereka masih bernyawa.

Beza manusia dengan binatang,
Letak di akal bukan di rawan,
Ikrar Demang di Bukit Siguntang,
Daulat raja jangan dilawan.

Jangan pernah jadi derhaka,
Daulat raja dicerca jangan,
Kalau mahu jadi merdeka,
Jagalah bangsa dengan tangan.

Tangan diguna ubah yang jahat,
Gunakan lisan kalau tak daya,
Tapi jangan berlaku khianat,
Kelak hidup tidak berjaya.

Kalau mahu jadi berjaya,
Moleklah buang rasa berdendam,
Janganlah pula ke mulut buaya,
Akibat dendam tak padam-padam.

Kita disuruh baik sesama,
Buanglah sengketa pilihlah damai,
Itulah perintah dalam agama,
Supaya kita menjadi ramai.

Kalau bersatu jadilah ramai,
Baharu kuat tidak dihina,
Bangunlah tidur janganlah mamai,
Kelak menyesal tidak berguna.

Kalau yang kafir keras kepala,
Pilihlah kawan sama akidah,
Janganlah galak menempah bala,
Nanti merana tak sudah-sudah.

Jangan ghairah membeli dunia,
Sampai menggadai emas di peti,
Kawan yang kafir hanya di dunia,
Saudara Muslim bawa ke mati.

Mati kelak semua ke kubur,
Dibawa hanya tiga perkara,
Bersatu umat masihlah kabur,
Walaupun hanya berpura-pura.

Tiada bersatu walau berpura,
Tetap menyombong mencaci herdik,
Itulah salah budi bicara,
Akibat yang dipilih tidak cerdik.

Kalau bertengkar biarlah cerdik,
Jangan bergaduh di depan anak,
Kalau mahu menegur adik,
Pilihlah bahasa yang lunak-lunak.

Ingatlah kalau berbuat silap,
Mengaku salah jangan takbur,
Berkhianat bangsa jadi malap,
Esok dikencing atas kubur.

Pesan untuk sesama bangsa,
Bangsa yang gemilang sejak silam,
Ingatlah pahit sama dirasa,
Sejak Melayu menjunjung Islam.

Maaf kalau terkasar bahasa,
Ini pesan ingat beringat,
Ingatlah wahai anak bangsa,
Moga kita berbuat manfaat.

Ingatlah pesan buat manfaat,
Eloklah kalau tersinggung terasa,
Kepada agama wajiblah taat,
Baharulah indah pekerti bangsa.

Kalau tersinggung di sebalik makna
Itu hanya gaya bahasa,
Ingatlah kalau dibadai pawana,
Janganlah lemah teruslah sasa.

Sasa itu segala makna,
Luar dalam baik belaka,
Lemah itu kuat menghina,
Kuat pula berbuat celaka,
Harap difaham segala makna,
Semoga kekal tanah pusaka.
-------

MELAYU itu tinggi budi bahasa, kalau  menegur berlapik kata. Dilapik dengan perumpamaan menyindir. Supaya hati tidak terasa, supaya tidak jadi pak pandir.

Santunnya Melayu dijaga adabnya, supaya tidak dikata orang. Kalau dilupa adab agama, di hujung nasib menjadi arang.

Bersopan santun, berbudi bahasa. Itu semua mungkin hanya akan jadi kisah silam bagi ketinggian budaya adab sopan orang Melayu. Hakikatnya, sudah ada kelompok-kelompok Melayu yang sudah semakin membuang segala adab sopan.

Dunia yang semakin moden mungkin menjadi salah satu penyebab terhadap punca segelintir Melayu meminggirkan adab susila. Terlalu terikut budaya jalanan yang hooligan dari luar negara, mungkin juga salah satu penyebabnya.

Kalau diperhalusi segala peristiwa baharu sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kita dapati terdapat faktor yang menjadikan segelintir orang Melayu berubah biadab.

Sudah ada yang secara terbuka menderhaka kepada raja. Ada juga yang secara terbuka mempersenda agama demi dunia. Lagi hebat menjadi pak turut menggadai maruah bangsa. Tersangat hebat dengan cetek fakta menipu sejarah lama.

Pasti ada pihak yang mengajar orang Melayu menjadi biadab, menjadi kurang ajar ketika berbicara, menjadi jengkel ketika berhimpun, menjadi celupar memaki hamun, menjadi dungu menimbang tara.

Orang yang mengajar orang Melayu menjadi biadab pula sudah pastinya orang berpengaruh. Kalau tidak berpengaruh, mana mungkin arahannya tidak diikut. Pasti ada ketua, pasti ada pemimpin mereka.

Seseorang pemimpin yang baik tidak akan tergamak mengajar para pengikutnya dengan perbuatan tidak baik. Kalau pemimpin suka memaki hamun, sudah tentu anak buah akan ikut sama. Jadilah mereka orang-orang yang kuat mengata lagi celupar mulutnya.

Seseorang pemimpin yang baik tidak akan tergamak mengajar anak buahnya melakukan perkara jelik. Kalau dibuat perkara jelik, akan runtuhlah ketinggian pekerti maruah bangsa yang ada agama.

Seseorang pemimpin yang baik tidak akan mengajar anak buahnya menjadi hilang harga diri. Seseorang pemimpin sewajarnya mengajar anak buahnya menjadi orang yang tinggi harga diri. Kalau anak buah membuat perkara jelik, elok dilarang sebelum lebih teruk menjadi-jadi. Kalau anak buah bercakap biadab, elok dilarang sebelum lebih teruk menjadi-jadi.

Namun, sang ketua hanya tahu seronok memerhati anak-anak buah membuat perkara jelik sesuka hati, tidak ditegah tidak dilarang, dibiarkan terus menjadi-jadi. Akibatnya malu bangsa sendiri kerana dituduh buruk perangai, apa sudah jadi?
------

Mahukah kita membiarkan anak-anak kita menjadi orang buruk perangai? Mahukah kita
membiarkan anak-anak kita dididik mindanya supaya jadi buruk perangai?

Diajar membenci orang itu, benci orang ini, dihambur kata caci maki. Orang Islam tidak
maki-maki. Agama tidak mengajar caci-maki, mengajar agama juga tidak elok mencaci-maki. Patut diajar budi pekerti. Sebab semua pasti mati. Jagalah pekerti.

Anak muda kosong jiwanya,
Ajarlah dengan budi pekerti,
Baharu aman hidup di dunia,
Syurga di sana pasti menanti.

Kalau diajar caci maki,
Buruk jadinya tiada pekerti,
Roh di dunia penuh berdaki,
Neraka di sana kelak menanti.

Jangan dicari guru yang silap,
Carilah guru pekerti bistari,
Supaya hati tak jadi gelap,
Mendapat cahaya penerang diri.

Jangan dicari ketua yang silap,
Nanti diajar berbuat jelik,
Perangai jadi kudis berkurap,
Pekerti baik tak dapat balik.

Sengaja pesan merangkai pantun,
Cara Melayu menyusun kata,
Pilihlah jalan penuh bersantun,
Supaya orang tidak mengata.

Bila kita - orang mengata,
Menjadi doa tunggu diangkat,
Balasan perit tidak terkata,
Bila doa di-amin malaikat.

Melayu itu menjaga adab santunnya. Saya cukup senang kalau bangsa lain menganggap
saya orang Melayu walaupun darah keturunan bercampur-campur.

Kalau saya berjalan-jalan di benua Barat sebelah sini setelah menjadi warganegara sebuah negara orang putih, pasti akan ada yang bertanya:

"Are you Asian? I think you from Middle East, you look like Arab or Jewish."

"Actually,  Melayu."saya balas.

Saya lebih suka menjawab saya orang Melayu, saya sebut Melayu dan bukan Malay. Kemudian mereka bertanya lagi, "What?"

"A great race from Tanah Melayu, then became Malaya, now Malaysia."saya balas lagi.

Seorang lelaki tua bekas pegawai kolonial Inggeris berkata kepada saya:

"Oh.. Onced known as Malaya of the Great British Empire. Malayu (dengan sebutan slanga me-lay-you). Onced the Malayu stood up politely but strictly out loud claim back for their country, we knew that they are civilized as their old history had told."

Itu sekadar apa yang dapat diingat. Sebagai pemberita, memang kena kuat ingatan untuk mengingat setiap apa yang orang kata.

Halusnya pekerti Melayu, masih dikenang oleh bekas-bekas pegawai penjajah, lalu mereka bercerita kepada cucu-cucu mereka. Baiknya hati orang Melayu, masih berbekas di hati bekas pegawai penjajah buat mereka berasa terharu.

Tegasnya Melayu menuntut hak raja, masih berlapik tata susila, tegas mengangkat maruah bangsa, tumpah darah dielak sebaiknya, tergamam penjajah bila Melayu bijak tidak pilih untuk berperang, bingung penjajah jadinya akhirnya berbincang cari sepakat kata, lalu diberi janji merdeka, tanpa darah tumpah ke dunia.

"Your people (Melayu) chose to be gentlemen, which was also meant that we were urged to be gentlemen. You had set the tempo, so we had to follow. Clever."

Bangsa penjajah pun tahu bangsa Melayu itu tinggi budi bahasanya, buat mereka terharu bercampur rasa, tidak tergamak mereka buat Melayu terus binasa kerana menghargai ketinggian budi bahasa walaupun mereka pernah berusaha melenyapkan kuasa raja-raja, lalu mereka beri janji merdeka. Itu hanya kata dari bekas pegawai penjajah, bukan daripada mulut peringkat tertinggi pihak penjajah.

Tapi sebab ada Melayu yang tidak mahu bersatu, memilih jalan sengketa sesama bangsa, berebut kuasa pangkat dunia, lalu penjajah membuka kata bicara merestui jalan golongan Melayu yang memilih jalan sengketa, British berkata tidak mengapa kalau berbeza, kerana itulah jalan porak peranda, sengketa sesama menjahanamkan bangsa. Berpecahlah Melayu menjadi dua, saat negara di ambang merdeka, British berkata tidak mengapa, kalau itu yang mereka minta.

Malangnya, semakin ada anak Melayu hari ini yang sudah mula belajar jadi biadab selepas diajar menjadi biadab. Biadab untuk menyemarakkan sengketa. British kata tidak mengapa, mereka tahu akan begini akhir jadinya. Sengketa Melayu bawa bencana, bangsa dan agama tidak ke mana.

Tangan yang harbi dibelai-belai,
Saudara sendiri dicaci maki,
Sedarlah cepat jangan terlalai,
Tangan sendiri sudah berdaki.

Berasa diri dah lebih gagah,
Sebab membelai tangan yang pandai,
Jangan cepat berasa megah,
Kalau dilayan seperti keldai.

Selalu bertengkar bak suami isteri,
Kalau bercakap perihal dapur,
Diamlah isteri – bila suami berdiri,
Sebab takut tak boleh campur.

Taat si isteri buang saudara,
Kerana kasih – semua turutkan,
Sedang hati terasa lara,
Taat segala yang bukan-bukan.

Demikian ibarat - buang saudara,
Kerana kasih suami sendiri,
Hanya diam mengenang sengsara,
Akibat buang saudara sendiri.

Saudara sendiri dituduh lemah,
Sebab tak kebulur berpimpin tangan,
Nanti suami halau rumah,
Akibat lalai kuat berangan.

Ingatlah wahai anak Melayu,
Jangan bersorak kampung tergadai,
Nanti merempat di hutan kayu,
Akibat suka menjadi keldai.

Seperti keldai membaca kitab,
Jangan diharap ia mengaji,
Jaga pekerti jadilah mantap,
Baharu cekal bila diuji.

Bila diuji oleh Pencipta,
Jangan jadi cepat melatah,
Kalau sengketa sesama kita,
Seronoklah musuh dapat meratah.

Jangan musuh dibuat kawan,
Sampai dicerca saudara akidah,
Nanti lemah tidak terlawan,
Tergadai semua menyesal tak sudah.

Perkara yang lepas biarlah sudah,
Rapatkan ummah berdamai sesama,
Baharulah yang sukar menjadi mudah,
Kerana taat kepada agama.

Agama menyuruh kita bersatu,
Itu perintah jangan disanggah,
Jangan dipilih jalan yang buntu,
Pilihlah jalan yang boleh dimegah.

Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat,
Dunia akhirat mendapat untung,
Umat bersatu - hati melekat.

Perkara yang lepas biarlah sudah,
Rapatkan ummah mari bersatu,
Demi agama bulatlah wadah,
Taat perintah dari Yang Satu.

Diperintah disuruh kita bersatu,
Supaya kita menjadi ramai,
Baharu musuh diam membatu,
Kerana kita saling berdamai.
-------

Sengketa yang lalu biarlah sudah.
Jangan disebabkan sengketa lama, lalu diajar dan digalak anak bangsa jadi biadab bermulut celupar hanya kerana mahu membalas dendam terhadap saudara sendiri.

Mahukah kita terus membiarkan anak-anak kita diajar mereka supaya berlaku biadab? Mahukah kita melihat anak-anak kita menjadi biadab di masa mendatang?  Mahukah kita menjadi bangsa yang biadab? Siapakah yang mengajar mereka menjadi biadab? Perlukah kita kepada orang-orang yang mengajar anak-anak kita menjadi biadab?

Biadab itu maksudnya tidak beradab. Perkataan peradabanterbit dari kata asal adab. Peradaban selari makna tamadun. Biadab membawa erti tidak bertamadun.


Biadab = Liberalism (Sekularism) + tak beradab.

Liberalism yang diperkuat dengan sekularism dan ditambah dengan cara hidup tidak beradab hanya membawa kepada hidup yang tidak bertamadun.

Runtuh adab sopan, maka runtuhlah tamadun.

Kos yang sangat besar untuk ditanggung oleh sesebuah bangsa yang pernah hidup bertamadun sekiranya berubah menjadi bangsa yang tidak beradab.

Islam mencorakkan tamadun umatnya, caci maki itu tidak beradab, caci maki itu tidak bertamadun, berbuat jelik itu tidak beradab, perangai jelik itu tidak bertamadun, sedangkan Islam itu mencorakkan tamadun.

Liberalism itu tidak beradab, sekularism juga tidak beradab.
Anda tahu mana yang beradab, mana yang bertamadun.



Sengketa yang lalu biarlah sudah.



- SHAHi-
Thirty-Third Street.

3 comments:

  1. Lama tdk nmpk penulisan kamu. :)

    ReplyDelete
  2. dari bandar lari ke dlm hutan, mencari ilmu pengetahuan yg sukar dicari, jikalau tuan tidak berasa keberatan, izinkan hamba share pantun tuan yg ada kt sini??.. =)

    ReplyDelete
  3. salam Shahi,

    Bagusnya tulisan ni. Saya pun nak copy dan paste ke group. Minta izin ya penulis.

    ReplyDelete