Halaman

Thursday 21 July 2011

Follow the evidence



KESILAPAN terbesar yang dilakukan oleh pemikir konspirasi ialah meletakkan semua andaian negatif terhadap satu pihak secara sepenuhnya dengan mengabaikan pihak-pihak lain yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Sebagai contoh, apabila Parti Democrat memegang tampuk pemerintahan di Amerika sebagai kerajaan yang memerintah, maka andaian konspirasi itu diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan Democrat. Walhal, mengabaikan bahawa Parti Republican yang belum dipilih menjadi kerajaan untuk penggal seterusnya juga mengadakan konspirasi.

Contoh lagi, di Britain, apabila Parti Konservatif menerajui kerajaan, maka andaian juga diletakkan bahawa wujud konspirasi dalam kerajaan itu diletakkan sepenuhnya terhadap parti itu. Dalam perkara yang sama, mengabaikan tumpuan kepada Parti Buruh yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Begitu juga dengan keadaannya di Malaysia. Apabila sesebuah parti menerajui kerajaan Malaysia, maka diletakkan andaian bahkan tuduhan, bahawa parti yang menerajui kerajaan itu diselubungi konspirasi. Dalam keadaan itu, para pemikir terlupa bahawa parti yang berusaha untuk menjadi kerajaan juga ada tingkat-tingkat konspirasinya.

Tidak wajar untuk meletakkan sesuatu tuduhan kepada satu pihak semata-mata. Pertimbangan yang dibuat haruslah waras dan wajar berdasarkan fakta dan maklumat yang kita terima. Pertimbangan yang dibuat pula tidak boleh berat sebelah.

Andai pemikir konspirasi itu berjiwa Parti A, maka sebarang teori konspirasi yang dibuat adalah untuk menyalahkan Parti B semata-mata. Andai pula seseorang pemikir itu berjiwa Parti B, maka dia juga akan melakukan perkara yang sama iaitu menyalahkan Parti A melalui teori-teori konspirasi. Itu tidak adil.

Jangan pula membuta tuli mengatakan parti A itu melakukan konspirasi hanya semata-mata pemimpin politik parti B berkata demikian. Jangan pula menjadi seperti blind sheep yang mengikut setiap apa yang didengari kerana sudah tidak mampu melihat, hanya bergantung kepada telinga kerana mata sudah buta.

Dalam menilai konspirasi, kita harus melihat dari semua arah, terhadap semua pihak, tanpa paranoia. Tidak boleh melihat dari satu sudut yang kita mahu atau kita suka sahaja. Perhatikan sudut-sudut yang boleh memandu kita kepada jawapan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus.

Jika keterangan terhadap satu pihak itu bersambung-sambung ke arah yang meragukan, menuju ke titik Yahudi Zionis sebagai contohnya, maka jawapan wajar terus dicari dan dicari selagi ada keterangan yang bersambung-sambung dalam menjawab persoalan itu.

Namun, apabila wujud keterangan yang terputus-putus di tengah jalan walaupun ada pertalian dengan Yahudi Zionis pada awalnya, maka ia juga harus difikirkan dengan wajar tanpa paranoia atau berat sebelah.

Apabila bersikap berat sebelah dengan melebihi satu pihak sahaja, maka kita tidak layak menjadi pengadil, pemerhati atau pemikir. Ia kerana kita hanya mencari jawapan yang akan menyalahkan satu pihak semata-mata dan proses untuk mendapat jawapan itu dilakukan secara tidak adil. Meletakkan satu perkara pada bukan tempat atau haq adalah satu perbuatan zalim.

Ia juga bermakna, pemikir konspirasi itu juga tidak bebas pemikirannya kerana masih dikongkong oleh jiwa yang menyokong sebelah pihak dengan mencemuh pihak yang satu lagi. Persepsi masih dikongkong oleh pihak lain. Bagaimana orang yang tidak bebas pemikirannya mahu membebaskan pemikiran orang lain? Ia hanya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan tanpa sebarang jawapan.

Apabila menjadi berat sebelah, teori-teori yang terbina pula hanya dipenuhi persepsi semata-mata, persepsi yang mencemuh sebelah pihak dengan mengagungkan sebelah pihak yang lain, teori hanya sekadar teori yang tidak akan sedikitpun menghampiri fakta.

Antara perkara yang perlu dilakukan ialah menerima maklumat dari semua arah, memadankan maklumat itu dengan maklumat-maklumat luar yang boleh membantu, menilai maklumat menggunakan semua pertimbangan yang wajar dan melihat ke mana maklumat itu membawa kita.

“Follow the evidence where ever it leads you. Never trust your perception. Perception is deception.” – FORENSIC RULE No. 1

Tidak dinafikan, ramai yang melakukan pertimbangan berat sebelah. Perlu segera sedar bahawa berat sebelah itu adalah perbuatan yang tidak adil dan zalim. Jika anda mahukan jawapan terhadap sesuatu persoalan, bersungguh-sungguhlah mencari jawapan. Terima jawapan itu seadanya walaupun jawapan itu bukan seperti yang anda harapkan.

Ikut ke mana sahaja bukti-bukti itu membawa persoalan-persoalan itu pergi dan lihat di mana jawapan kepada persoalan itu terhenti. Apabila ia terhenti di titik yang disokong dari semua arah, maka ia adalah jawapan walaupun tidak seperti yang kita harapkan.

Terimalah jawapan itu walaupun ia tidak menyebelahi kita.
Berfikirlah dengan waras.

-ADMIN-

BLOG Umat Terakhir sudah masuk ke edisi ketiga disebabkan sudah dua kali ia ditutup sebelum ini. Sejak edisi pertama dan kedua, blog ini banyak menyelitkan pelbagai maklumat konspirasi untuk bacaan orang ramai secara dalam talian dengan percuma.

Artikel seperti Jejak Dajjal Dalam Sejarah yang menjelaskan kod-kod sejarah berkaitan Dajjal, Illuminati Dan Di Sebalik Hitler yang menjelaskan mengenai Bloodlines Illuminati dan blue print peperangan dunia juga sudah banyak tersebar di ruang internet sehingga ada yang tidak tahu artikel-artikel itu disalin dari blog Umat Terakhir. Namun, kita tidak ambil kisah atau ambil pusing akan semua itu. Artikel-artikel itu hanya sebagai alat pemanas minda untuk anda berfikir mengenainya.

Dalam blog Umat Terakhir edisi kedua (ksz-associate) sebelum ini pula, artikel-artikel itu disiarkan semula untuk bacaan para pembaca dan ia diambil dari fail arkib Umat Terakhir sendiri yang sentiasa disimpan oleh pihak Umat Terakhir. Malangnya, ada yang menuduh artikel-artikel itu di-copy paste dari blog-blog lain yang terlebih dahulu menyiarkan artikel-artikel itu sebelum Umat Terakhir edisi kedua dibuka semula.

Sepanjang empat tahun blog Umat Terakhir dibuka pada kali pertama (bermula dengan nama blog Konspirasi Sepanjang Zaman, 2007), ia tidak pernah melakukan copy paste sebarang artikel daripada mana-mana blog. Semua artikel yang disiarkan adalah hasil bacaan peribadi para panel penulis di blog ini yang dirujuk daripada pelbagai sumber teks bacaan dan lisan sebelum disusun melalui padanan maklumat. Bahan-bahan bacaan peribadi pula hanya sebagai alat untuk memadankan maklumat bagi menentukan kredibiliti sesuatu maklumat untuk memastikan ia benar-benar tepat.

Kami di blog ini tidak pernah melakukan copy paste terhadap mana-mana artikel daripada mana-mana blog dan apatah lagi untuk mengaku bahawa ia dihasilkan oleh kami sendiri, tidak pernah. Artikel-artikel yang disiar semula itu adalah dari arkib blog ini sendiri dan disiarkan semula untuk memudahkan pemahaman para pembaca.

Lima tahun lalu, Shahi (sebelum dijemput menjadi panel penulis blog ini) didatangi seorang yang menyatakan masalah kewangan yang dihadapinya sehingga menyebabkan orang itu menghadapi kesulitan dalam meneruskan pengajian di peringkat Sarjana (Masters) dan Kedoktoran Falsafah (Ph.D). Shahi didatangi kerana dia memang dikenali sebagai seorang pemikir dalam bidang kerjaya yang diceburinya.

Shahi kemudian menimbulkan persoalan besar untuk difikirkan oleh orang itu iaitu persoalan-persoalan mengenai ‘orang misteri’ yang disebut dalam al-Quran supaya ia dikaji secara ilmiah. Pengkajian terhadap ‘orang misteri’ itu pula akan membuka lebih banyak persoalan lain (orang-orang misteri yang lain) yang berputar bersama persoalan mengenai ‘orang misteri’ pertama itu.

Shahi tidak melakukan kajian ilmiah itu, sebaliknya meminta orang itu membuat kajian itu secara sendiri sekiranya dia mahu menolong dirinya sendiri dan demi perjuangan meluaskan skop pengkajian terhadap ayat-ayat Allah. Hasil daripada kajian itu pula amat Shahi hormati dan kagum, malah Shahi menumpang bangga setiap kali memetik beberapa perkara daripada hasil kajian itu untuk dipadankan dengan sumber-sumber fakta yang disimpan dalam simpanannya. Hubungan Shahi dengan orang itu (W) juga kekal baik tanpa iri hati atau sebagainya, dan orang itu juga kerap berkunjung ke Umat Terakhir edisi kedua terdahulu dan ketiga kini.

Meskipun dalam perkara itu, blog ini juga tidak pernah melakukan copy paste dan kekal menghormati hasil usaha yang diberikan untuk menyiapkan kajian ilmiah itu. Blog ini sentiasa menghormati batas-batas ilmiah, dan akan memberi penghargaan yang disertakan sebagai sumber rujukan sekiranya ada petikan yang dipinjam daripada mana-mana bacaan ilmiah.

Bagi mengelak tuduhan seperti itu berulang, maka tidak akan ada siaran semula terhadap mana-mana artikel daripada edisi terdahulu melainkan diminta oleh pembaca sendiri bagi memudahkan rujukannya. Pihak kami juga akan menyediakan link arkib untuk rujukan anda apabila ada artikel baru yang memerlukan pembaca merujuk artikel asal. Biarlah link arkib itu terpisah daripada blog ini sebagai mengelak tuduhan atau fitnah yang mengatakan bahawa sesebuah artikel yang disiarkan di blog ini hasil ciplak atau sebagainya daripada blog-blog dan sumber-sumber lain.

Sukacita dimaklumkan bahawa Shahi akan bersama kita semula selepas membuat keputusan untuk memberitahu kepada kita semua mengenai setiap apa yang beliau tahu. Intuisi ESP yang berlingkar dalam fikirannya akan cuba disampaikan untuk difikirkan oleh semua, bersama-sama memikirkannya.

Beliau pernah memberitahu saya mengenai huruf ‘SK’ melenyapkan perkataan ‘Artificial Intelligent’ yang kerap bermain di fikirannya sejak dua tahun lalu dan beliau menganggap jawapan terhadap persoalan huruf itu sudah kita semua ketahui. Dia juga pernah memberitahu kepada saya mengenai kekerapan ‘pedang samurai separuh lebur’ yang bermain di fikirannya, dan dianggap jawapan itu telah kita semua terima pada kira-kira tiga bulan lalu.

Namun, ada perkara penting yang ingin diberitahu oleh beliau supaya kita dapat berfikir bersama-sama. Kita sama-sama tunggu. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada blog ini terutama Abatasa. Tanpa Abatasa, mungkin blog ini akan terus terkubur dan kami masing-masing akan membuat urusan peribadi seperti sedia kala dalam keadaan memikul bebanan kerana tidak menyampaikan kepada pembaca semua.

Andai ada yang mahu menyertai kami, kami sentiasa terbuka. Syaratnya mudah, bebaskan minda daripada setiap perkara yang menyekat kewarasan dan sedia menerima kebenaran meskipun ia pahit untuk ditelan, dihadam mahupun diludah.

Kami mencari PRODIGY ESP.. yang boleh menyambung kerja-kerja ini sebelum kami semua dijemput mati. We know these people, they are among us as we can feel their energy.

-ADMIN-

Tuesday 19 July 2011

Mind Control dalam politik



UNTUK menjadi seorang ahli politik, seseorang individu itu harus mempunyai pakej lengkap dari segi ketrampilan, disiplin moral, gaya dan daya kepimpinan selain boleh dipercayai serta jujur. Itu adalah penilaian umum yang biasa diberikan kepada seseorang tokoh yang mencebur diri dalam arena politik.

Namun terdapat satu sisi yang wajar diberi perhatian iaitu, seseorang yang terlibat dalam politik demokrasi perlu mempunyai kemahiran mempengaruhi orang lain kerana ia adalah salah satu daripada faktor penting yang membezakan antara pemimpin dengan pengikut. Ia adalah kemahiran yang sangat diperlukan dan ia adalah satu ‘faktor’.

Setiap yang diucapkan oleh individu politik harus memberikan keputusan positif iaitu ‘dipercayai’ ‘diyakini’ dan jawapan-jawapan negatif yang selain itu tidak akan menjamin kejayaan seseorang ahli politik dalam melebarkan cita-citanya dalam kancah politik demokrasi sesebuah negara, organisasi atau dunia.

Pengikut kepada parti-parti politik pula hanya akan berkata bahawa tokoh politik pujaan mereka itu hebat, berwawasan dan sebagainya. Pujian-pujian itu pula hanya diberikan berlandaskan ucapan-ucapan yang pernah keluar daripada tokoh itu dan tidak melihat secara keseluruhan terhadap prestasi perlaksanaan kepada ucapan-ucapannya itu.

Namun, pengikut parti politik tidak pernah memikirkan mengapa mereka berfikiran sedemikian walaupun tidak berpijak kepada keseluruhan fakta. Para pengikut hanya mengangguk dan menerima setiap apa yang diucapkan tanpa berfikir mengenainya. Mengapa keadaan itu berlaku?

Ramai yang tidak menyedari bahawa wujud istilah Mind Control dalam politik. Tanpa Mind Control, sesebuah parti atau individu politik tidak akan mampu bertahan menangkis pelbagai isu yang melanda mereka. Mereka dapat bertahan meskipun dibadai pelbagai isu kerana mereka telah mengikat minda para pengikut supaya menjadi taat serta taksub sehingga mengenepikan segala pertimbangan yang wajar.

Melalui Mind Control, mereka menjadikan pengikut mereka taat dan tidak berganjak daripada terus memberi sokongan walaupun parti dan individu-individu (ahli politik) mereka dilanda pelbagai isu yang boleh menggugat kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Hanya dengan menggunakan teknik-teknik mempengaruhi orang lain untuk menyemai persepsi orang ramai, seseorang individu politik itu dengan mudah akan dapat mengerahkan para pengikutnya menerima idea dan nilai-nilai yang ingin disampaikan dan diterapkannya. Ia termasuk sampai ke tahap mempergunakan para pengikut yang sudah sedia taksub untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Dalam memastikan semua itu berjalan lancar, seseorang individu politik itu harus mengetahui tatacara ‘pemasaran diri’ untuk meraih kepercayaan umum terhadapnya, ia adalah langkah pertama sebelum teknik-teknik psikologi digunakan secara optimum dalam mood yang halus.

Ketika dalam fasa pengalihan psikologi, segala daya kognitif dan pemikiran kritis akan dikikis keluar daripada tingkat kewarasan seseorang pengikut. Ia dilakukan bagi mengubah persepsi seseorang pengikut sehingga tiada lagi pertikaian walaupun sebesar kuman terhadap ketua mereka, sehingga semua yang dilakukan disifatkan sebagai betul tanpa sebarang kelemahan.

Apabila ia berlaku, seseorang pengikut tidak akan mampu berfikir secara bebas dan hanya mampu berfikir mengikut rentak yang disediakan oleh pemimpin politik mereka sahaja. Ringkasnya, pengikut akan berfikir mengikut acuan yang telah disediakan dalam ruang lingkup terhitung melalui idealisme retorik-retorik yang memukau ketakjuban dan ketaksuban.

Pengikut juga akan gagal membezakan antara kepalsuan dan kebenaran selepas pemikiran diselubung dengan debu-debu yang menyelimuti kewarasan berlandaskan realiti. Pada tahap ini, realiti tidak akan dapat dilihat dengan jiwa yang bersih dan kebijaksanaan para pengikut akan mula terhakis perlahan-lahan dan akhirnya hilang.

Dalam fasa itu, minda pengikut berada sepenuhnya dalam kawalan sang ahli politik. Pengikut akan mengangguk apabila keadaan memerlukan mereka mengangguk dan akan melakukan segala tindakan yang mempertahankan individu politik berkenaan. Apabila keadaan ini berlaku, pengikut juga tidak ubah menjadi seperti orang buta yang tidak dapat melihat walaupun celik.

Proses pembuatan keputusan yang sepatutnya dibuat secara bebas oleh pengikut akan dikawal sepenuhnya oleh sang ahli politik, pengikut tidak akan mampu membuat keputusan sendiri melainkan bergantung sepenuhnya kepada sang ahli politik dalam apa sahaja keputusan meskipun keputusan itu boleh melingkupkan banyak perkara dalam nilai masyarakat. Pengikut yang tunduk kepada demokrasi akan ditelan hidup-hidup oleh demokrasi itu sendiri kerana tidak memahami demokrasi yang sebenarnya.

Bilamana minda pengikut sudah berada dalam kawalan yang maksimum oleh sang ahli politik, maka semua arahan daripada individu politik itu akan dipatuhi sepenuhnya. Ibarat robot yang akan bergerak melakukan segala arahan setiap kali butang alat kawalan dipetik. Lebih parah, ibarat mayat hidup yang sudah hilang jiwanya. Parah apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang.
--

Coercive Mind Reset

Dalam modul Mind Control yang diamalkan oleh para penggerak politik New World Order (NWO) yang berpaksikan Zionis, minda manusia boleh dikawal melalui kaedah pemaksaan minda.

Melalui kaedah ini, minda akan dipaksa menerima segala idealisme yang cuba disogok oleh seseorang. Kaedah ini bagaimanapun akan gagal sekiranya individu yang cuba disogok itu pantas berfikir untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul semasa idealisme itu cuba diserapkan ke dalam pemikirannya.

Sebagai contoh apabila minda cuba disogok dengan komunisme, seseorang akan dapat menerima idea itu sekiranya dia terus mengangguk terhadap setiap idea yang menguntungkan dan mengabaikan semua kesan buruk akibat komunisme yang bakal diterimanya. Seseorang akan menerima idea tersebut sekiranya hanya mementingkan keuntungan dunia melalui konsep memiliknegarakan harta yang memberi gambaran seolah-olah semua rakyat akan mendapat taraf ekonomi sama rata. Dalam hal ini, minda dipaksa menerima idea tersebut dalam mood yang lembut iaitu idea-idea yang hanya menerangkan kebaikan dan bukan kelemahan.

Namun, apabila seseorang itu melihat kepada keseluruhan ideologi komunisme maka dia pasti akan melakukan pertikaian terhadap beberapa persoalan yang tidak dapat dijawab oleh komunisme itu sendiri. Apabila berlaku pertikaian, maka usaha pemaksaan minda akan terganggu dan boleh terhenti.

Namun, komunisme itu hanya dijadikan sebagai contoh dari aspek yang boleh membuatkan seseorang itu mengangguk terhadap komunisme dan menolak ideologi itu secara tegas. Ia hanya dari segi ‘menerima’ dan ‘mempertikai’. Menerima tanpa berfikir secara keseluruhan, akan menyebabkan minda dikawal melalui pemaksaan. Jadi, apakah yang boleh menjelaskan kaedah pemaksaan minda itu dan bagaimana ia dilaksanakan?

Pemaksaan minda adalah teknik memanipulasi daya kognitif seseorang. Melemahkan kognitif melalui satu sisi dan memperkuat persepsi pada sisi yang lain. Ia berlaku apabila persepsi menjadi lebih kuat berbanding kognitif. Ia berlaku apabila tiada keseimbangan antara kognitif dengan persepsi, dan ia tercetus dan berjaya dilaksanakan apabila persepsi menguasai keseluruhan tingkat pemikiran dan akal. Akal manusia dikuasai oleh persepsi dan bukan lagi kognitif. Hampir menyamai hipnosis, tetapi ia bukan hipnosis.

Apabila minda berjaya dimonopoli oleh persepsi, maka keseluruhan keputusan yang dibuat oleh seseorang akan berlandaskan persepsinya terhadap sang ahli politik yang berjaya mempengaruhinya. Daya kognitif sudah berada pada tahap lemah (bukan sepenuhnya pupus) dan tidak lagi mampu untuk melakukan penilaian yang berlandaskan realiti terhadap sang ahli politik itu. Apatah lagi untuk mempertikai apabila daya kognitif menjadi begitu asing dalam tingkat kewarasan.

Dalam persekitaran politik demokrasi, keupayaan mempengaruhi orang ramai adalah lesen besar kepada kekuasaan. Tanpa lesen ini, sesebuah organisasi politik atau individu politik itu tidak akan mampu berdiri kuat dalam demokrasi. Maka, propaganda harus dilakukan dan digerakkan bagi memastikan ia mampu mempengaruhi keyakinan dan kepercayaan orang ramai. Dalam proses propaganda inilah persepsi itu akan disemai.

Adalah penting untuk mencari titik kelemahan dalam usaha menyemai persepsi. Kelemahan itu boleh sahaja berkisar mengenai masalah yang dihadapi oleh orang ramai yang berpotensi menjadi pengikut.

“Get into their boat and let them do the row… You only have to say: Row-row-row your boat, and they will definitely row as you said.” – KAEDAH PERTAMA.

Cara mempengaruhi orang lain adalah perkara yang sangat mudah. Seseorang pemain politik hanya perlu memahami masalah orang lain (bakal pengikut) dan masuk di sebelah orang itu untuk bermain dengan perasaan dan persepsi mereka.

Andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik. Jika bakal pengikut itu mengalami masalah kewangan, maka jatuhkan hukuman bagi masalah itu terhadap pihak politik lawan. Hanya perlu memberitahu bahawa masalah kewangan yang dihadapinya itu adalah berpunca daripada pihak lawan anda.

Maka, persepsi akan wujud dalam minda bakal pengikut itu bahawa masalah itu adalah berpunca daripada pihak lain, bukan disebabkan masalahnya sendiri yang tidak bijak menguruskan kewangan dan jika dia berfikir mengenai kesilapannya menguruskan hartanya sendiri, maka dia akan berfikir secara waras dan hanya akan meminta nasihat daripada ahli politik itu dalam konteks pengurusan kewangan sahaja.

Untuk mengelak pengikut itu berfikir mengenai perkara itu, sang ahli politik akan berterusan mempengaruhi persepsi bahawa bakal pengikut anda terpaksa berhutang dengan bank kerana kadar faedah yang ditetapkan bank adalah berpunca daripada pihak lawan anda. Dalam keadaan ini, Blame Game digunakan secara serius terhadap pihak lawan bagi kepentingan politik yang akhirnya akan mewujudkan persepsi di minda bakal pengikut anda seperti yang anda harapkan.

Dalam permainan ini, jika anda adalah ahli politik, maka anda hanya perlu masuk ke dalam masalah (boat) mereka dan menjadi sebahagian daripada mereka yang mengalami masalah yang sama. Setelah menguasai persepsi dan kemarahan mereka terhadap sesuatu pihak (iaitu musuh politik anda), maka merekalah yang akan mendayung (row) bot itu untuk anda sampai ke seberang (matlamat) anda.

Dalam perkara ini, boat itu adalah isu. Row pula adalah kesan tingkah laku yang akan dilakukan oleh pengikut itu yang akan menjayakan cita-cita politik seseorang sang ahli politik. Seseorang pemain politik hanya akan duduk berehat di dalam bot tersebut dan pengikut itulah yang akan membawa pemain politik itu ke arah matlamatnya. Dalam hal ini, persepsi pengikut adalah faktor yang menjamin kejayaan Mind Control si pemain politik itu tadi.

“Make them confuse with questions, then provide the answers.” – KAEDAH KEDUA.

Persepsi tidak akan wujud selagi minda tidak dikelirukan. Bakal pengikut perlu melalui fasa keliru, ia wajib dilakukan sehingga mereka benar-benar keliru dan tersepit di celah-celah persoalan. Sekali lagi, andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik.

Kekeliruan itu haruslah berpihak kepada bakal pengikut anda. Biar bakal pengikut anda keliru dengan masalahnya sendiri. Biar bakal pengikut anda terbelit dengan masalahnya sendiri. Biarkan dia berfikir bahawa yang membelit tubuhnya itu bukan disebabkan faktor-faktor lain, biarkan dia berfikir bersulam persepsi yang keliru bahawa masalah yang dihadapinya itu adalah disebabkan oleh pihak lain iaitu musuh politik anda.

Langkah selanjutnya, anda perlu tutup segala peluang untuknya berfikir mengenai cara terbaik yang boleh membawa dia keluar daripada masalah itu. Jangan buka peluang untuk bakal pengikut anda berfikir mengenai jawapan lain yang boleh membawa dia keluar daripada keadaan itu.

Sebaliknya, anda hanya perlu memaksa bakal pengikut anda menerima penyelesaian dan jawapan yang telah anda sediakan. Lontarkan idea anda kepadanya yang memihak kepada ideologi politik anda. Secara persepsi, bakal pengikut anda akan terus menjadi pengikut anda secara rasmi apabila dia berfikiran bahawa hanya dengan berjuang bersama anda sahaja barulah masalah yang dihadapinya itu akan selesai.

“Keep them drowning, they will know that they need air with your help.” – KAEDAH KETIGA.

Walaupun begitu, masalah yang dihadapi oleh pengikut itu tidak boleh lagi diselesaikan secara drastik selagi matlamat anda belum tercapai. Pengikut harus dibiarkan terkapai-kapai dalam masalahnya sendiri tanpa perlu menghulurkan pertolongan kepadanya.

Ini kerana, pengikut anda akan terus bersama anda selagi dia tidak mendapat pertolongan seperti anda dijanjikan. Pengikut anda akan terus kekal bersama anda setelah persepsinya meyakini kata-kata anda. Dalam peringkat ini, pengikut akan melalui tahap ‘mind slave’ yang serius dan tidak perlu bimbang kerana ia menguntungkan anda.

Pengikut anda yakin bahawa anda sahaja yang boleh membantunya keluar daripada masalahnya itu. Itu kelebihan yang anda ada. Dalam peringkat ini juga, pengikut itu akan melakukan apa sahaja perintah yang anda keluarkan.

Pada masa itu juga, anda menguasai pemikiran mereka dalam tahap yang hampir berjaya walhal anda sendiri tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah pengikut-pengikut anda dan juga masalah-masalah anda sendiri.
--

Untuk tidak mahu menjadi mangsa atau hamba kepada demokrasi, persepsi haruslah diseimbangkan dengan daya kognitif. Seseorang yang hidup dalam persekitaran demokrasi wajar bijak dalam memahami apakah itu demokrasi.

Demokrasi bukan semata-mata mengadakan pilihanraya untuk memilih kerajaan dari kalangan rakyat. Ia juga berkaitan kebebasan kita untuk berfikir, mempertikai setiap perkara tidak masuk akal yang cuba mempengaruhi kita supaya tidak mudah dipengaruhi.

Bebas berfikir dan bersuara juga adalah demokrasi. Maka jika ada pemain politik yang mahu mempengaruhi anda, gunakan kebebasan demokrasi itu untuk mempertikai sebarang idea jika terdapat kesangsian. Andai ada keterangan jawapan yang ‘bersambung-sambung’ terhadap persoalan-persoalan maka ia boleh difikirkan untuk diterima sebagai jawapan.

Sebaliknya, jika keterangan sebagai jawapan terhadap sesuatu persoalan itu kerap ada ‘terputus-putus’ maka, ia juga wajar difikirkan sama ada kita mahu menerimanya sebagai jawapan atau memutuskan ia sebagai penipuan dan pembohongan.

Minda (bolehlah dipermudahkan sebagai akal dalam konteks ini) hanya akan dikawal sekiranya ia tidak digunakan untuk berfikir kerana fitrahnya juga adalah untuk membantu kita berfikir. Andai minda tidak digunakan untuk berfikir, maka ia akan mudah dikawal. Itu adalah syarat untuk terselamat dalam permainan ini.

Hitung kembali dan buat ‘mind check-up’… adakah minda anda sedang berada dalam kawalan mana-mana pihak yang berkepentingan politik?


"ARE YOU A POLITICAL SLAVE? Better not be."



- CLOVER -

Sunday 17 July 2011

The Psy-War Post: Monopoli propaganda





MENUTUP kecenderungan orang ramai untuk menilai kepelbagaian maklumat terhadap sesuatu isu atau sesuatu perkembangan daripada pelbagai sumber menjadikan pemikiran orang ramai hanya menerima maklumat daripada satu sumber sahaja secara sempit sehingga pemikiran menjadi lemah dalam membuat penilaian serta pertimbangan secara waras.


Dalam perkara ini, orang ramai akan menjadi alpa (tidak sensitif) terhadap perkembangan sebenar yang mewakili realiti (sintetik). Sebaliknya akan mempercayai bulat-bulat terhadap sumber propaganda yang disuruh mereka rujuk itu. Ia dilakukan secara meluas ketika Perang Dunia Kedua.

Semasa pendudukan Jepun di Malaya ketika Perang Dunia Kedua, orang ramai dilarang sama sekali untuk membaca sebarang bahan bacaan yang dibawa masuk daripada benua Eropah terutama dari Britain dan Amerika. Jika ada, hanya dari Jerman dan negara-negara sekutu Jepun sahaja yang dibenarkan.

Selain bahan bacaan, Jepun juga melarang penduduk Malaya daripada memasang radio sama ada yang menerima gelombang frekuensi tempatan ataupun antarabangsa. Ketika itu, Jepun hanya membenarkan penduduk Malaya mengambil sumber maklumat dari negara-negara anggota Axis sahaja. Hanya sumber maklumat dari pihak mereka sahaja yang boleh memonopoli pemikiran orang di negara yang mereka duduki. Itu adalah contoh paling hampir untuk menggambarkan keadaan yang dimaksudkan.

Dalam senario politik pula, orang ramai khususnya pengikut ditegah daripada merujuk sumber-sumber maklumat yang lain, dan hanya dibenarkan merujuk sumber rasmi mereka sahaja (bagi sesebuah parti politik). Walaupun sumber yang lain itu tampil dengan segala bentuk kewarasan dalam penyampaian maklumat supaya orang ramai dapat berfikir dengan waras, namun orang ramai ditegah daripada merujuknya dan dikatakan sumber yang selain daripada sumber mereka hanya diselimuti dusta semata-mata. Sebaliknya, orang ramai yang khususnya pengikut itu hanya disuruh merujuk sumber rasmi yang mendukung fahaman mereka sahaja.

Ia adalah Mind Game paling kejam dalam usaha menguasai pemikiran orang ramai supaya terikat dengan segala propaganda yang ingin disampaikan melalui sumber rasmi mereka itu. Kejam kerana orang ramai dipaksa menerima sumber-sumber yang menyebelahi mereka semata-mata. Kejam dalam mood yang lembut.
--

Apabila minda dihalang daripada merujuk sumber pelbagai

Untuk mendapatkan kefahaman mengenai sesebuah isu, kita wajar meneliti semua jenis maklumat yang sampai kepada kita. Maklumat-maklumat yang sampai itu pula harus dikaji dengan pelbagai kaedah yang sewajarnya. Ia tidak harus diterima bulat-bulat sebagai fakta, dan tidak pula wajar ditolak secara membuta tanpa sebarang inisiatif untuk menilai mengenainya. Maklumat yang neutral ialah maklumat yang mengajak kita berfikir dan pemberi maklumat itu pula menyerahkan kepada kita untuk berfikir mengenai maklumat yang ingin disampaikannya.

Manakala maklumat yang berat sebelah pula ialah maklumat yang bersifat mempengaruhi supaya kita berfikir mengikut kemahuan pemberi maklumat itu tanpa memberi peluang kepada kita untuk menilai segala maklumat yang disampaikan itu.

Maklumat neutral adalah maklumat yang memberi kebebasan kepada kita untuk membuat keputusan, manakala maklumat berat sebelah adalah maklumat yang hanya mahu mempengaruhi kita dan tidak lebih daripada itu. Fahami perbezaan tujuan maklumat itu disampaikan dan anda akan mudah mengikuti artikel ini.

“Jangan tengok berita kat TV tu, semua tu tipu. Jangan baca semua surat khabar tu, semua tu pun tipu juga. Hanya baca surat khabar (tabloid politik) yang sokong kita sahaja, yang lain-lain tu jangan baca. ” – CONTOH ARAHAN.

“Ketua kita tak bagi tengok berita TV tu, aku pun tak tengok la. Surat khabar tu pun aku tak baca sebab ketua tak bagi kita baca. Aku baca surat khabar yang boleh (dibenarkan) baca sahaja.” – CONTOH KEPATUHAN TERHADAP ARAHAN TADI.

Apabila berlaku seperti keadaan di atas, maka segala kecenderungan untuk seseorang itu menerima maklumat yang pelbagai akan ditutup rapat. Kesannya, seseorang itu tadi akan menerima segala input propaganda yang datang daripada satu arah sahaja (dari pihak yang disokongnya). Manakala apabila maklumat lain sampai kepadanya dari arah berlainan, maka ia akan menganggap maklumat itu sebagai tidak boleh dipercayai. Itu hanya prinsip asas dalam perkara ini sebelum kita mendalaminya.

Maklumat yang berbeza sangat diperlukan supaya kita dapat melihat kepada titik-titik yang membezakan maklumat itu. Maklumat sebenar tidak datang hanya dari sumber bertulis atau visual kerana ia hanya sebagai sumber sekunder. Maklumat yang tepat adalah maklumat yang datang dari sumber asal maklumat itu tadi.


Maklumat yang tidak melalui fasa distortion, iaitu maklumat lisan pertama daripada individu yang menyediakan maklumat asal, bukan sumber lisan kedua atau seterusnya, melainkan sumber lisan pertama. Daripada sumber lisan pertama itu, maka lahirlah sumber bertulis dan visual.


Penerima yang mendapat maklumat daripada sumber asal itu pula adalah pihak kedua yang menulis atau memvisualkan maklumat itu menjadi maklumat sekunder. Penerima maklumat yang menerima maklumat daripada individu lisan itu juga menjadi pemberi maklumat kepada kita. Penyedia maklumat adalah primer, penerima maklumat daripada primer pula (penyampai) menyediakan sumber tahap sekunder kepada kita, manakala kita pula menjadi pihak tertier dan seterusnya. Maka, itu pula proses penyampaian maklumat.

Oleh itu, penerima maklumat (sekunder) yang menerima maklumat primer bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tujuan maklumat itu disampaikan kepada kita (tertier). Pihak sekunder itu pula mempunyai tujuan sendiri. Ia terpecah kepada dua kelompok pihak sekunder iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulannya dan kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir.
--

Kelompok-kelompok sekunder

Kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan audiens adalah kelompok yang bekerja untuk tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini bekerja untuk memastikan audiens (orang awam) menyebelahi tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini wujud dalam semua parti politik yang wujud di dunia ini. Kelompok ini adalah organisasi media / korporat media.

Tiada istilah kebebasan media dalam kelompok ini kerana mereka sendiri yang tidak mahu diri mereka menjadi bebas. Tidak bebas kerana kelompok ini sememangnya bekerja untuk tuan-tuan politik mereka semata-mata.

Katakan ada dua sumber media. Satu sumber itu tegar menyebelahi parti politik A dan satu lagi pula tegar menyebelahi parti politik B, maka kedua-dua mereka itu adalah kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan-kumpulan yang mereka pilih. Mereka-mereka ini sebenarnya gigih berlumba-lumba di atas balapan politik kerana mahu mempengaruhi kita.

Kedua-dua sumber itu juga bekerja untuk tuan politik mereka dan tidak bebas. Mereka mahu audiens menjadi tegar terhadap kumpulan politik masing-masing. Maka, kedua-dua kumpulan ini bertindak kejam dalam konteks tugas mempengaruhi minda orang ramai.

Akan lebih kejam apabila audiens berubah menjadi taksub terhadap satu sumber sahaja dengan menolak sumber-sumber lain. Apabila keadaan itu tercetus, maka propaganda berjalan lancar tanpa perlu melakukan tugas yang sukar untuk mempengaruhi kerana audiens memilih sendiri sumber-sumber yang mereka mahu percaya secara absolute selektif. Lebih kejam atau tidak, ia bergantung kepada tahap kedunguan audiens sendiri.

Tuan-tuan politik menjadikan sumber media sebagai alat propaganda yang paling berkesan. Alat-alat propaganda (media) ini pula akan saling bersaing dengan media lawannya untuk meraih pengaruh kumpulan-kumpulan audiens di luar sana.

Maka, tidak wujud situasi kebebasan organisasi media dalam konteks ini kerana masing-masing bekerja untuk tuan politik masing-masing. Apabila timbul suara-suara yang kononnya memperjuangkan kebebasan media (seperti pernah dicanang sebuah pakatan parti-parti politik suatu ketika dahulu), maka ia adalah sesuatu yang tidak langsung mewakili realiti.

Realitinya, anda ditipu dalam perihal memperjuangkan kebebasan media. Tiada satu pun organisasi media di dunia yang tidak menyebelahi mana-mana tuan politik. Setiap organisasi media mempunyai kepentingan terhadap parti politik masing-masing. Itu realiti yang ditelan walaupun terasa seperti menelan air yang berduri.
Maka, tidak wujud juga terma satu pihak media itu benar dan telus sepenuhnya melebihi pihak yang satu lagi.

Ia kerana maklumat yang disampaikan akan tetap condong ke arah sesebuah parti politik yang mereka perjuangkan. Pihak tertier (orang awam) yang menerima maklumat yang disampaikan media-media itu pula adalah mangsa. Kamu semua adalah mangsa.

Namun, wujud satu kelompok lagi iaitu kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir secara waras dengan mengajak orang ramai mempertimbangkan semua jenis maklumat (dari semua arah) yang sampai kepada mereka (audiens) secara bijak.

Kelompok ini adalah individu-individu yang wujud dalam organisasi media. Kelompok ini bukan organisasi media yang bekerja untuk tuan politik masing-masing, tetapi hanya lemah berdiri sebagai individu-individu yang bekerja di bawah organisasi-organisasi media itu.

Kewujudan kelompok ini dalam organisasi media adalah disebabkan prinsip mereka yang faham terhadap fungsi media yang sebenar dalam memurnikan pemikiran audiens terhadap kewajaran membuat keputusan yang waras. Kelompok ini mahu audiens waras berfikir tanpa kongkongan mana-mana parti politik.

Untuk melihat kewujudan kelompok kedua ini, kita wajar melihat kepada semua terbitan berita dalam sesebuah produk media (berita akhbar atau TV atau juga portal berita internet). Jika sesebuah akhbar, stesen TV atau portal berita internet itu hanya 100 peratus melaporkan kebaikan pihak politik yang diperjuangkannya dan mencemuh mengutuk mengkritik pihak lain, maka kelompok kedua itu tidak wujud dalam organisasi itu.

Andai wujud sekalipun, suara individu dalam kelompok kedua seperti itu sudah dibisukan dalam organisasi itu atau sudah lama disingkirkan secara bersistem. Ia kerana keseluruhan lapisan ‘chain of command’ dari peringkat atas hingga bawah dalam organisasi itu dikawal sepenuhnya oleh kelompok pertama iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan. Penguasaan kelompok pertama itu dalam sesebuah organisasi media akan menyebabkan usaha kelompok kedua tidak akan pernah kesampaian.

Namun, andai ada laporan akhbar atau berita TV yang mengajak semua orang berfikir terhadap percanggahan kenyataan atau fakta, maka individu dalam kelompok kedua (kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir) sememangnya wujud dalam organisasi media itu. Laporan seperti itu sengaja dibuat dan sengaja diterbitkan supaya orang ramai boleh berfikir berdasarkan fakta benar dan fakta salah.

Kelompok ini adalah individu-individu yang sensitif terhadap semua jenis maklumat yang sampai kepada orang awam dan mengkaji semua maklumat tersebut. Laporan dibuat supaya orang ramai juga berfikir bersama mereka dan menilai mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Ia juga bermakna, dalam ‘chain of command’ organisasi itu masih terdapat individu-individu yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mereka lebih gemar mengajak audiens berfikir. Mereka mahu audiens berfikir bersama mereka terhadap perkara-perkara persoalan yang mereka nampak.

They want you to see as what they see, but they never want you to think as what they think, they just want to show you the way you should think, but the wise or worse decisions are always yours.
Itulah isi hati kelompok kedua.


Pun begitu, andai laporan seperti itu dikeluarkan, maka organisasi yang 100 peratus dikuasai kelompok pertama itu akan segera mematahkan cubaan kelompok kedua dalam organisasi yang satu lagi. Maka, timbul keadaan di mana propaganda baru dikeluarkan segera untuk mengalih perhatian orang ramai daripada berfikir.


Dalam keadaan ini, red herring mungkin digunapakai, mungkin blame game juga akan digunakan bagi mengembalikan kesalahan itu kepada pihak lawan. Menjadi mangsa dalam keadaan ini ialah audiens-audiens yang gagal berfikir dan terikat dalam kekeliruan sederhana kompleks.
--

Bagaimana untuk tidak mahu menjadi mangsa?

Mudah. Tidak susah. Audiens perlu bijak menerima setiap maklumat yang sampai kepada mereka. Maklumat yang sampai itu pula harus dipadankan dengan maklumat lain yang boleh menerangkan keadaan sebenar. Maklumat lain itu boleh jadi maklumat luar yang boleh terdiri daripada set-set perkembangan dari luar negara yang menjelaskan kenapa sesuatu perkara itu berlaku di negara mereka dan keadaan itu mungkin sekali sama atau hampir sama dengan perkara yang sedang berlaku di negara ini. Ia membuka ruang kepada kita untuk berfikir bahawa realiti kita hidup di dunia yang mempunyai banyak negara, kita bukan hidup di sebuah planet terpencil yang bernama Malaysia dan dihuni oleh kita sahaja.

Setiap isu atau persoalan yang muncul dalam persekitaran, ia wajar dilihat dari aspek yang sewajarnya. Jika ia berkisar mengenai keselamatan alam sekitar, maka ia wajar difahami dari sudut biologi dan fizik, bukan difahami mengikut pandangan seseorang tidak berlandaskan fakta biologi atau fizik. Jika ia berkisar masalah ekonomi, maka ia wajar dilihat dari kaca mata ekonomi, bukan dari sudut pandangan politik yang sempit.


Pangkalnya, audiens perlu bijak. Bijak berfikir dan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh membantu audiens berfikir. Jangan pula disuruh angguk, kita angguk. Disuruh geleng, kita geleng. Disuruh guling, kita guling. Disuruh mati, kita mati. Kita didatangi sekian banyak maklumat mengenai pelbagai perkara pada setiap hari.

Tidak wajar sesuatu maklumat itu ditolak mentah-mentah dan menerima bulat-bulat maklumat yang satu lagi. Jika menerima sesuatu maklumat, ia harus difikirkan dan bukan dibuang begitu sahaja. Maklumat yang sampai itu harus dipertimbangkan dengan tingkat kewarasan yang sepatutnya. Jika yang disampaikan itu dikatakan sebagai bukti, maka fikirkanlah mengenai perkara itu. Lihat dari semua arah dan pertimbangkan dari semua arah.

Jika maklumat itu memandu ke arah mengajak kita berfikir, maka berfikirlah. Jika maklumat itu hanya menyebelahi sebelah pihak, maka jadikan ia sebagai penanda aras pertama. Jika maklumat itu bertentangan dengan yang satu lagi, maka jadikan ia sebagai penanda aras yang kedua. Jika telah sampai maklumat yang mengajak kita berfikir mengenai kedua-duanya, maka berfikirlah sebaik-baiknya. Tiada ruginya kalau kita berfikir.

Begitu juga dengan kita di sini, andai artikel ini difikirkan berguna, maka fikirkanlah mengenainya. Andai mahu membuang artikel ini dari tingkat pemikiran anda, maka terpulanglah kepada anda.


Anda sedang menelan semua propaganda sehingga menjadi darah daging. Pernahkah kamu terfikir?




[Nota ADMIN: Blog Umat Terakhir tiada akaun Facebook, Twitter atau sebagainya. Harap maklum.]

- CLOVER -

Sunday 10 July 2011

Umat Terakhir: Kembali


Assalamualaikum, sekapur sirih..

----------------------------------------


JATUH atau bangun Islam adalah terletak di atas pilihan dan tanggungjawab umat Islam sendiri. Di bumi Malaysia, tanggungjawab itu tergalas di atas bahu orang Melayu yang majoritinya beragama Islam. Majoriti orang Islam di Malaysia adalah berdasarkan majoriti orang Melayu yang beragama Islam. Maka dengan itu andai orang Melayu bersatu dan kuat, maka Islam juga bersatu dan menjadi kuat. Andai orang Melayu berpecah dan lemah, maka Islam juga berpecah dan lemah.

Dalam blog Umat Terakhir edisi ketiga dan terakhir ini, kita melihat bahawa kurang keperluan untuk menggali konspirasi dunia sebagaimana dalam dua edisi blog ini sebelum ini. Tumpuan bagi kali ini difikirkan wajar untuk melihat dan menilai keadaan negara kita terlebih dahulu melebihi faktor-faktor lain.

Kita tinggalkan sebentar konspirasi dunia walaupun dunia sebenarnya juga semakin tenat berkonflik, kita tumpukan masalah yang melanda negara kita dan masalah dalaman negara yang ada kaitan dengan agenda dari luar.

Namun, blog ini bukan sudah bertukar menjadi blog politik. Blog ini masih seperti dahulu yang membincangkan subjek-subjek pemikiran konspirasi dan sains teknologi yang berteraskan Islam.

Segala penulisan dalam blog ini tidak memihak kepada mana-mana parti politik apabila ia menyentuh soal politik. Apabila blog ini bercakap mengenai Melayu, blog ini sebenarnya tidak bercakap mengenai UMNO dan apabila blog ini bercakap pula mengenai Islam, blog ini juga tidak bercakap mengenai PAS. Penulis-penulis di blog ini bukan dari kalangan UMNO atau PAS atau PKR, bukan juga orang UMNO atau PAS atau PKR, tetapi penulis-penulis blog ini adalah orang Islam.

Pola pemikiran sebilangan besar orang Melayu beragama Islam (Melayu-Islam) di Malaysia dicorakkan oleh pemimpin-pemimpin mereka sama ada dari kalangan UMNO, PAS, PKR atau sebagainya parti politik yang ada di bumi Malaysia ini.

Corak pemikiran sebilangan besar Melayu-Islam di Malaysia dibawa ke arah yang menyebelahi pemimpin-pemimpin politik mereka, ia dibuat mengikut rencah demokrasi iaitu semakin ramai sokongan yang menyebelahi maka semakin besarlah kuasa untuk mendapatkan majoriti undi, membentuk kerajaan, membuat dasar dan mengemudi negara mengikut pertimbangan mereka yang berkuasa melalui demokrasi.

Dalam persekitaran demokrasi, bilangan undi yang tinggi dan besar terhadap parti-parti politik akan menentukan pemenang dalam membentuk kerajaan. Matlamat politik dalam persekitaran demokrasi adalah memenangi pilihanraya dan semua orang tahu akan perkara itu. Asalkan boleh menang, apa sahaja cara akan digunakan tidak kira sama ada cara itu baik atau tidak. Ia adalah satu permainan, jangan pula kita dipermainkan.

Melalui cara itu dalam meraih sokongan dan undi, maka pemikiran orang ramai harus dikawal supaya parti-parti politik mendapat sokongan majoriti pengundi. Menjadi masalahnya di sini ialah, pemikiran orang ramai dicorakkan oleh parti-parti politik melalui isu-isu tertentu dengan cara yang menjauhi kewarasan, melalui Mind Game, melalui taktik-taktik teknikal dan sebagainya.

Kewarasan bagi orang Islam ialah menilai segala pertimbangan yang datang dari semua arah dan segala pertimbangan itu pula harus dipadankan dengan perintah Allah dalam al-Quran andai ia bersangkut paut dengan hukum.

Andai pertimbangan itu selari dengan kehendak al-Quran dan Hadis yang sahih, maka ia yang dikaitkan dengan hukum itu boleh dipatuhi. Andai pertimbangan itu menjauhi perintah al-Quran dan Hadis, maka perlu disisih dan dijauhi. Harus bertindak mengikut kehendak perintah Allah dan Rasul, andai gagal menilai segala pertimbangan dari semua arah yang selari dengan al-Quran dan Hadis, maka tiada faktor pertimbangan yang dinamakan sebagai kewarasan di situ.

Apabila blog ini menyentuh tindak-tanduk sesebuah parti politik, blog ini juga sebenarnya tidak bercakap mengenai politik secara keseluruhannya. Sebaliknya blog ini hanya bercakap perihal tingkat kewarasan yang dimainkan parti-parti politik dalam mempengaruhi pemikiran orang melalui pengalihan isu, mensensasikan isu, teknikal fitnah dan sebagainya.

Untuk menilai segala pertimbangan yang datang dari semua arah, kita tidak pula wajar menjadi terlalu selektif terhadap mana-mana maklumat yang sampai kepada kita. Kita tidak wajar menolak keterangan satu pihak secara total dengan hanya menerima keterangan satu pihak sahaja secara total. Kita tidak boleh menjadi paranoid terhadap pihak lain, paranoia itu juga memberi masalah kepada tingkat kewarasan kita.

Menolak keterangan pihak lain secara total dan hanya menerima keterangan pihak yang kita sebelahi sahaja adalah perbuatan yang tidak adil terhadap tingkat kemurnian yang ada dalam diri, langsung tidak membantu kita untuk berfikir secara waras. Rosaknya pemikiran kita adalah disebabkan perbuatan kita sendiri, bukan disebabkan ia dirosakkan oleh pihak yang mahu merosakkan pemikiran kita, ia kerana kitalah yang memilih untuk hanya mempertimbang satu pihak sahaja.

Jiwa dan hati manusia diciptakan dengan kesucian. Walaupun hati dan jiwa berubah menjadi kotor apabila kita meningkat dewasa (akibat terdedah kepada persekitaran dan melakukan perbuatan jahat), namun kesucian yang dianugerahkan sejak kita lahir itu masih ada tersisa dan tidak musnah sepenuhnya. Kesucian akan tetap ada dalam hati dan jiwa manusia, ia terpulang kepada kita untuk menggilapnya semula dan menjadi sebaik-baik manusia yang waras (berfikir sebaik-baiknya), atau mengabaikannya dan terus hidup dalam kekeliruan yang tiada pertimbangan waras.

Dalam menilai segala pertimbangan yang datang dari semua arah, sisa kesucian yang ada dalam jiwa sangat diperlukan bagi membolehkan kita melihat kepada tingkat kewarasan yang sepatutnya. Kita lihat contoh bagaimana mahu mengenal orang yang menipu, dengan hanya melihat perbuatannya sahaja:

Kesucian hati dan jiwa akan tetap ada dalam diri manusia walaupun hanya sebagai sisa-sisa. Pernahkah jiwa kita memberontak untuk tidak bersetuju dengan keputusan yang kita buat? Perasaan geram yang ada di tingkat nafsu mahu kita menyakiti seorang budak itu, lalu kita menamparnya sedangkan hati dan jiwa kita tidak membenarkannya. Apabila kita melakukan perbuatan itu, maka kita menipu terhadap perasaan kita yang sebenarnya. Nafsu mengarahkan kita menampar budak itu, tetapi hati dan jiwa kita tidak tergamak melakukannya. Andai kesucian masih tersisa, kita akan didatangi rasa kesal. Dan andai kita dipandu oleh kesucian yang ada tersisa dalam diri, kita akan mengabaikan arahan nafsu amarah dan tidak meneruskan kehendak nafsu untuk menyakiti budak itu tadi.

Sisa kesucian itulah yang membantu kita kembali waras untuk menilai segala pertimbangan yang datang dari setiap sudut. Ia adalah satu pertembungan tingkat kewajaran yang memperlihatkan pertelingkahan antara nafsu dan hati yang masih ada sisa kesucian.

Hati dan jiwa yang masih dibaluti sisa kesucian akan memprotes pemikiran setiap kali kita mahu melakukan kesalahan secara perbuatan atau membuat keputusan yang tidak wajar. Akan timbul pertanyaan kepada diri, adakah yang akan, sedang atau telah kita lakukan itu betul atau sebaliknya. Itu adalah tanda bahawa kesucian hati dan jiwa anda sedang berbicara dengan anda.

Kesucian dalam diri itu adalah faktor. Faktor yang mempengaruhi keputusan tepat yang akan kita lakukan jika kita memanfaatkannya, faktor yang akan mendatangkan penyesalan jika kita mengabaikannya, faktor yang membuatkan kita berfikir dua kali akan kesan akibat, faktor yang membantu kita menjadi manusia yang mampu berfikir secara waras. Namun, ia bersyarat. Kesucian itu datangnya dari Allah, maka ingatlah dan berserahlah kepada-Nya dan akal fikiran akan menemui kewarasan yang sewajarnya.

Environmental Distortion (E-Dist) adalah masalah asas dalam mempengaruhi cara kita berfikir. E-Dist kebiasaannya datang daripada segala jenis persekitaran maklumat yang melingkari proses awal penilaian, datang dalam bentuk ucapan individu yang ditujukan kepada kita, datang dalam bentuk doktrin-doktrin pemikiran, datang pelbagai bentuk berlainan yang kerap berubah-ubah seperti perubahan fakta, perubahan perkataan, perubahan pernyataan, perubahan kenyataan, perubahan penegasan dan perubahan penafian. Ia adalah sebahagian kecil pertimbangan yang datang dari sesuatu arah.

Pertimbangan itu harus diteliti dan difahami sebelum menghamparkan pemikiran kita di atas lantai kewarasan yang rata. Setiap maklumat yang diterima harus diproses dengan waras, membandingkan perbezaan maklumat awal dengan maklumat terkini, menilai sekiranya ada kesalahan paling kritikal dalam setiap maklumat yang diterima, melihat perselisihan kenyataan daripada individu yang sama iaitu individu yang cuba mempengaruhi kita, menilai dari pelbagai arah yang mempunyai keterangan ‘bersambung-sambung’ dan ‘tidak terputus-putus’.

Keterangan individu yang mahu mempengaruhi kita mesti bersambung-sambung dan tidak terputus-putus. Selain itu, setiap keterangan seseorang individu itu pula tidak wajar ada bersalahan secara kritikal antara setiap satu keterangannya yang sebelum itu. Kebiasaannya, apabila individu yang mahu mempengaruhi kita itu melakukan kesalahan terhadap keterangannya (iaitu berlaku kesalahan kritikal terhadap mana-mana keterangannya sebelum itu), maka individu itu akan cuba mengalihkan perhatian kita terhadap perkara lain bagi menutup kesalahan dalam keterangannya yang bersalahan sesama keterangannya sebelum itu.

Begitulah cara pemikiran sebilangan daripada kita dipermainkan. Dalam tingkat kewarasan, wujud satu titik kecil dalam pemikiran. Titik itu adalah titik leka. Andai tumpuan kita terleka walaupun seminit terhadap koleksi kenyataan-kenyataan seseorang individu sebelum ini, maka kita akan terus menjadi leka untuk beberapa tempoh yang lama lagi dan kita terdedah kepada risiko untuk diperbodohkan.

Koleksi-koleksi kenyataan atau ucapan seseorang yang disimpan dalam minda (memori) harus disimpan dengan kadar kebolehcapaian semula yang baik dan optimum. Kata mudahnya ialah jangan jadi pelupa. Lupa itu adalah sebahagian daripada titik leka. Apabila individu B itu menyebut sebelah kasutnya yang kiri tertinggal dalam hood kereta Si A, maka kita simpan kenyataan itu. Kita tunggu pula apa kata Si A, adakah ia benar seperti yang dikatakan. Kemudian Si A kata kasut sebelah kiri itu memang ada dalam hood keretanya, keterangan itu mula menunjukkan kesinambungannya. Kita simpan pula kata-kata Si A, kita tunggu pula perkembangan terhadap dua keterangan itu.

Kemudian, ada orang minta Si A menunjukkan kasut itu. Si A gagal menunjukkannya, maka keterangan itu mula terputus dan tiada bersambung-sambung. Kemudian pula, individu B cuba menyambung keterangan dengan mengatakan tidak ada keperluan untuk A mempamerkan kasut itu. Bagi mereka yang patuh kepada B, maka mereka akan akur bahawa tiada keperluan untuk melihat kasut itu dan mengabaikan perihal kasut itu, seterusnya hidup seperti biasa.

Manakala bagi mereka yang mahu menilai adakah kata-kata B dan A tu benar, mereka tetap mahu melihatnya. Mereka mahu keterangan itu disokong dari semua arah dan tidak terputus-putus, mereka tidak memutuskan B dan A itu menipu, sebaliknya mahu keterangan itu disokong dari semua arah yang tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun, itu hanya contoh rambang yang memberi kefahaman mengenai ‘kenyataan yang bersambung-sambung’ dan ‘kenyataan yang terputus-putus’. Melihat kepada kesinambungan keterangan adalah salah satu alat untuk membantu kita membuat keputusan yang wajar serta membantu kita berfikir dengan waras.

Pendirian blog ini jelas, kita tidak menyebelahi mana-mana parti politik kerana kita bukan orang UMNO, PAS atau PKR. Sebaliknya dan tetapinya, kita adalah orang Islam. Kita tidak bercakap seperti orang UMNO, PAS atau PKR, tetapi kita hanya bercakap sebagai orang Islam.

Kita di blog ini pernah didatangi rasa kesal dan tidak lagi mahu menulis selepas dua kali blog ini ditutup. Rasa kesal itu bukan kerana sudah dua kali ditutup, tetapi kesal kerana tidak ramai yang mahu berusaha berfikir secara waras dalam membuat pertimbangan.

Kesal kerana ada pembaca yang berfikir mengikut kongkongan emosi kepartian. Kesal kerana ramai yang mementingkan politik kepartian daripada tujuan hidup yang sebenar. Kesal kerana ada yang tegar melatah tanpa sebab apabila ada parti politik cinta hati mereka ditegur di blog ini. Kesal kerana ada yang menganggap sesuatu parti yang mereka perjuangkan itu maksum daripada kesalahan duniawi dan tidak boleh ditegur walau dengan apa cara sekalipun.

Kenalilah kenyataan ini, Democracy is human, political parties are also human. Manusia biasa tiada yang sempurna.

Kami bukan orang UMNO atau PAS atau PKR, tetapi kami hanya orang Islam. Itu pendirian dan pegangan kami di blog ini apabila menyentuh perihal politik.

Blog ini akan masih seperti dahulu dalam beberapa subjek utamanya.



UMAT TERAKHIR edisi ketiga.


Jika anda ada menyimpan artikel-artikel Umat Terakhir sebelum blog lama ditutup, sila sertakan link untuk rujukan semula.


-ADMIN-

Sunday 3 July 2011

Akan Kembali

THE TEAM UNDER RECONSTRUCTION

THE MEN ARE BACK & NOT LIKE BEFORE.