Halaman

Friday 23 September 2011

The Bull and The Bear



PERCAYA atau tidak, pemikiran sebilangan besar daripada kita hanya tertumpu kepada duit dan wang. Demi duit, ramai orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan sekeping dua kertas berwarna yang mewakili nilai-nilai tertentu untuk membeli barang.

Setiap hari selepas bangun daripada tidur, akal dan jiwa sudah mula berfikir mengenai duit. Sang ibu memikirkan duit belanja untuk membeli barang dapur. Sang suami pula memikirkan duit untuk membayar hutang rumah dan kereta, beli susu anak, lampin, nafkah keluarga dan bermacam lagi.

Hidup ini bagi mereka, sangat-sangat memerlukan duit. Tanpa duit, hidup akan tunggang terbalik.
Demi duit, orang sanggup berjuang. Berjuang dengan cara cari duitlah, apa lagi? Apabila hidup makin tertekan kerana tiada cukup wang untuk terus hidup, maka hidup pun jadi bermasalah. Itu semua sebab asyik fokus memikirkan duit, duit dan duit.

Orang berfikir macam mana mahu isi minyak kereta yang dikatakan mahal, macam mana mahu beli ayam yang makin mahal sejak harga siling bagi ayam dimansuhkan sedangkan duit hanya tinggal 50 ringgit dalam dompet, macam mana mahu sekolahkan anak sebab tidak punya duit sepenuh tempayan, macam mana mahu beli gula dan tepung dan juga beras sebab tidak ada duit. Setiap hari, ramai orang memikirkan duit.

Disebabkan mahu memenuhkan kantung masing-masing untuk selesaikan masalah duit, maka ia jadi peluang kepada sebilangan orang yang lain pula untuk mempergunakan orang yang tidak berduit.

Orang yang tidak berduit diibaratkan seperti orang yang sedang lapar. Dan, orang yang telah lama lapar pula mudah panas baran kerana fikirannya hanya fokus kepada niat mahu makan. Begitu juga dengan orang yang tidak ada duit, fikiran mereka hanya fokus kepada mahukan duit.

Apabila datang janji daripada seseorang yang kononnya boleh menyelesaikan masalah poket mereka, maka orang-orang yang tiada duit dan juga orang-orang yang tamak duit akan mudah bersorak meraikan janji-janji itu. Dijanjikan elaun tanpa perlu bekerja, dijanjikan gaji yang minimum dalam kelas ‘boleh tahan’ , dijanjikan wang mudah atau easy money dan bermacam lagi janji yang menjanjikan duit dan kesenangan yang digambarkan sebagai ‘lebih senang’ daripada sekarang.

Mahu hidup senang, itu juga berkaitan duit. Semua arah tuju hidup telah dan sedang berputar berpaksikan duit. Apabila harga produk petroleum naik, ada yang bising kerana tidak ada duit untuk menanggung kos petrol dan diesel, tetapi ada juga yang tidak kisah. Samalah juga dengan apabila harga barang mula naik, ada yang bising dan ada yang tidak kisah. Yang bising itu ialah yang tidak ‘jenuh’ dengan duit, manakala yang tidak kisah pula ialah yang hidup mereka sudah ‘jenuh’ dengan duit.

Pemikiran yang terlalu fokus kepada soal duit adalah satu kelemahan. Pemikiran akan mudah terpesona apabila datang janji yang menjanjikan masalah duit itu akan selesai kalau melakukan beberapa syarat (sokongan politik adalah yang paling popular, easy money yang kedua popular dan pelan perniagaan pula yang ketiga popular).

Apabila bercakap soal rasuah, ia juga berkaitan duit. Duit, banyak sungguh masalah yang timbul disebabkan duit. Hidup boleh jadi huru hara kalau tiada duit (bagi sesetengah orang), malah negara juga boleh jadi huru hara kalau semua orang hanya mahu hidup senang berenang-renang dalam kolam yang penuh dengan duit.

Ramai yang hanya memikirkan kantung duit sendiri, dapat duit senyaplah mulut, dapat duit lancarlah projek, dapat duit mewahlah hidup. Beri duit, banyaklah orang suka, banyaklah orang sokong, banyaklah orang puji. Apabila berjanji mahu bagi duit kepada orang pain pula, ramailah yang balas dengan harapan. Bukan hidup berputar dalam paksi duit, tapi hidup sudah diputarkan oleh duit dan janji diberikan duit sehingga hilang paksi (kewarasan) yang sepatutnya.

Jadi, apa masalah kita? Adakah masalah hidup kita dicetuskan oleh duit semata-mata? Atau, memang fikiran kita ini yang asyik fokus memikirkan duit sahaja?

Teringat kisah lima tahun lalu di Bangsar ketika saya (STALKER) bersama SHAHi, DRIFTER dan CLOVER minum kopi bersama di sebuah kedai mamak sebelum DRIFTER ambil keputusan berhenti kerja (pendapatan bulanan DRIFTER sudah mencecah lebih RM10 ribu ketika itu) kerana dia mahu merantau keliling dunia. Dia masih bujang dan muda, tiada masalah baginya untuk merantau selama mana yang dia suka. SHAHi pula berhijrah ke United Kingdom pada tahun lepas selepas ditawarkan kerja dalam bidang yang sama dengan kami bertiga di sana.

DRIFTER (perantau) beritahu kepada kami bertiga mengenai niatnya. Dia mahu merantau dengan hanya membawa duit yang cukup-cukup sahaja. Apabila sampai di negara yang dia mahu, dia akan hidup dengan cara bekerja sementara biarpun gaji kecil termasuk mencuci pinggan di restoran di negara asing, dia tidak kisah asalkan ada sedikit wang untuk makan, itu sudah mencukupi. Dia memilih untuk hidup susah, dia nekad wang bukan segala-galanya.

Apabila sudah cukup wang, dia akan terbang dengan pesawat atau naik tongkang ke negara lain pula sehingga dia ‘menemui diri’ yang sebenar dan menemui jawapan-jawapan yang dia cari. Kini, dia masih merantau dan kami namakan dia dengan nama pena DRIFTER. Katanya, dia hanya mahu bergerak seperti dirinya itu adalah kompas. Walaupun tidak berbekalkan peta semasa merantau, tetapi dia tahu ke mana dia pergi. Ketika masih bekerja di Malaysia pula, dia memang tidak pernah sesat jalan semasa mencari lokasi tugasan sejak mula bekerja pada hari pertama. Dia tahu ke mana dia pergi.

Kini, hidup DRIFTER hanya merantau dan semasa tempoh merantau itu selama lebih empat tahun lalu itu, ada sekali dia pulang ke Malaysia. Baginya, ia tidak wajar ditakrif sebagai ‘pulang’ kerana Malaysia adalah laluannya dalam tempoh merantaunya itu. Ketika berada selama lapan bulan di Malaysia, dia bekerja sebagai pengutip tin minuman terbuang, mencuci pinggan mangkuk di Jalan Bonus sedangkan dalam akaun banknya di Malaysia memang ada banyak wang, dia kemudian berangkat ke Brunei.

Saya pula diamanahkan supaya mengirim wang belanja kepada ibu bapanya di kampung, disebabkan tidak punya cukup masa untuk menguruskan kiriman wang seperti diamanahkan, saya membuat autodebit dari akaun DRIFTER ke akaun ibu bapanya di kampung.

Dia kata: “I just following the route, the route just drop me here (Malaysia) for a while and I am not really at home yet, mak bapak aku selalu restu keputusan aku ini sebab mak bapak aku kenal niat aku.” Katanya dalam slanga yang sudah bercampur baur dengan banyak dialek bahasa bangsa-bangsa dunia.

Sepanjang lapan bulan singgah di Malaysia, saya berpeluang bertanya mengenai pengalamannya dan niat sebenarnya untuk merantau. Kata DRIFTER, dia sudah tidak pentingkan duit. Kerana baginya, pemikiran dan iman manusia akan rosak kalau terlalu mementingkan duit. Katanya lagi, nafsu akan mudah melenting kalau harga barang naik.

Selama empat setengah tahun dia merantau, dia bersyukur dengan sedikit rezeki. Pernah dia berjalan sejauh beratus kilometer selama berhari-hari merentas bukit bukau sehingga kurus kering kerana tiada wang untuk membayar tiket bas, bermalam di kaki lima, pengalaman disamun oleh penyamun yang sangat mahukan wang, katanya wang sangat menyusahkan kalau kita terlalu fokus mengenainya.

Kini, dia sudah tidak kisah kalau tidak ada wang kerana rezeki itu bukan urusannya, tetapi rezeki itu urusan Allah. Dia tidak akan melenting kalau harga makanan di Jepun terlalu mahal hanya kerana semata-mata tiada wang untuk membeli makanan. Baginya, kalau ada sikit duit, ada lah. Kalau tiada wang, hiduplah seperti biasa dan jangan memikirkan soal wang.

Itu pengalaman DRIFTER yang bersangkut paut dengan masalah wang seperti dalam artikel ini. Namun, bukan jawapan kepada masalah wang yang DRIFTER cari. Dia mencari seseorang yang juga sedang merantau sepertinya, yang bergerak bebas sepertinya, mencari seseorang yang tidak terkongkong oleh masalah keduniaan, untuk belajar daripada orang itu yang hanya dikenalinya melalui ‘tenaga’ sejak sekian lama tanpa mengetahui namanya. Orang yang dicarinya itu pula seperti mahu mengujinya sehingga menjadi sukar untuk dikejar keliling dunia. Namun, DRIFTER seronok dalam kejar mengejar itu kerana dia sudah tidak kisah dengan masalah-masalah keduniaan.
--

Seluruh hidup sebilangan besar daripada kita hanya fokus kepada duit. Matlamat hidup hanya ditumpukan kepada duit. Lihatlah keadaan sekeliling, pemikiran sebilangan orang boleh dipengaruhi dengan hanya dijanjikan duit dan kesenangan hidup. Pemikiran sebilangan daripada kita mudah terpesona apabila dihidangkan duit.

Ada sebilangan pula, melenting apabila tidak dapat projek berjuta-juta dan melenting apabila bisnes kerugian yang dikatakan berpunca daripada salah orang lain. Sedangkan pemikiran tidak ditumpukan kepada ‘rezeki itu urusan Allah’. Tidak dapat projek itu bukan salah orang lain, tetapi kerana ia rezeki milik orang lain yang lebih berhak melebihi kita.

Kita rugi bisnes pula bukan disebabkan salah orang lain, tetapi terimalah semua itu sebagai ujian dan pengajaran daripada Allah supaya menunaikan segala hak-Nya seperti jangan menipu dalam pentadbiran akaun untuk mengelak daripada membayar zakat, cukai dan tanggungjawab sosial kepada agama dan negara.

Tetapi apabila asyik memikirkan wang untuk menggemukkan akaun bank sehingga iman menderita kebuluran, itu sudah tidak seimbang wahai tuan-tuan. Seluruh hidup kita jangan terlalu difokuskan kepada wang, tetapi fokus kepada yang sepatutnya. Bersyukur dengan segala yang ada, jangan tamak memikirkan wang.

Bak kata ramai orang: kalau memikirkan duit, sampai kiamat pun duit tak akan pernah cukup.
Terlalu memikirkan wang, samalah seperti mengikut kata nafsu sehingga akal mabuk lesu memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Dan, jangan mudah terpesona apabila dijanjikan wang mudah.

Islam tidak menghalang pemilikan harta dan berjual beli itu sememangnya dihalalkan. Tetapi, harta dan kekayaan bukan tujuan utama hidup kita. Pak cik dan mak cik di kampung yang mudah terpedaya dengan janji skim itu dan skim ini juga akhirnya berputih mata kerana terlalu mahu mengikut nafsu untuk mendapat banyak wang yang lebih banyak. Semua kerana wang, tetapi wang bukan segalanya.

Kita tidak meninggalkan jawapan di sini, hanya santai-santai sekejap di hujung minggu ini supaya berfikir mengenai fokus hidup kita.

Kita hanya mahu meninggalkan kata kunci kepada para individu ESP yang sudah 'dijemput' iaitu berusahalah untuk HIDUP BEBAS DARIPADA MASALAH KEDUNIAAN DENGAN JALAN HALAL. Berfikirlah mengenainya. Kegagalan berfikir mengenainya akan menjerumuskan kita menjadi hamba duit dan nafsu yang tidak pernah cukup dan tidak pernah puas.

Hiduplah dengan bebas di atas landasan lurus, jalan Allah. Belajarlah daripada kisah Nabi Muhammad berpuasa sunat bersama Aisyah kerana tiada makanan untuk dijamah. Itulah antara kunci untuk bebas ke tahap berikutnya.


The Bull and The Bear, MASALAH?



- ADMIN -

Monday 19 September 2011

Fitnah bertaraf pendapat manusia

"Lantaklah."

RAMAI daripada kita terutama yang taksub dalam pegangan politik melebihi agama mengaku diri mereka beriman kepada al-Quran. Mereka mengaku percaya kepada al-Quran tetapi gagal mentaati segala perintah-Nya seperti termaktub dalam kitab terakhir. Sejauh manakah orang-orang seperti itu benar-benar taat kepada perintah Allah dalam al-Quran?

Banyak isu (kita ambil yang membabitkan isu orang Islam) yang ternyata gagal dijawab dengan cerdik. Balik-balik, jawapan diberikan hanya berputar mengikut sentimen politik kepartian dengan budaya busuk menyalahkan orang lain bagi setiap kesalahan demi kesalahan, dan kelemahan demi kelemahan yang jelas terpampang. Budaya busuk yang tidak habis-habis mahu menyalahkan orang lain.

Masyarakat pula semakin leka dibuai fitnah yang makin membusuk. Minda masyarakat sentiasa diubah-ubah mengikut citarasa politik, fakta-fakta pula sentiasa diterbalikkan dan minda manusia-manusia yang malas berfikir terus leka dibuai kisah-kisah bohong yang tidak bersandarkan kecerdikan.

Apabila datang sesuatu berita kepada kamu, maka selidiki berita itu terlebih dahulu sebelum kamu mempercayainya kerana barangkali berita itu tidak lebih daripada fitnah semata yang tidak bersandarkan kepada apa-apa pembuktian. Malangnya, minda pengikut politik sudah diasuh supaya tidak berfikir.

Sebaliknya minda pengikut diasuh supaya menerima setiap input maklumat yang diberi oleh pemimpin-pemimpin parti politik tanpa usul periksa oleh sang pengikut yang semakin hari semakin dungu.

Fitnah bukan hanya berlegar dengan maksud ‘cerita tidak betul yang keluar daripada mulut seseorang dan direka-reka untuk tujuan jahat bagi memburukkan orang lain..’. Pengertian fitnah tidak terhenti dengan maksud itu sahaja wahai ustaz-ustaz 'skema' sekalian. Pengertian fitnah adalah jauh lebih besar daripada ‘cerita rekaan’, lebih besar daripada maksud itu wahai saudara-saudara semua.

Fitnah bukan hanya mengenai ‘perkataan atau cerita rekaan yang berniat jahat keluar daripada lidah dan mulut seseorang’ tetapi fitnah juga mencakupi perbuatan dan setiap perkara yang “meletakkan haq kepada bathil, meletakkan bathil kepada haq, memesongkan kebenaran supaya dilihat sebagai tidak benar, melakukan perbuatan salah dan dikatakan sebagai tidak salah.”

Fitnah itu kini sangat jelas di depan mata kamu, ia hadir tanpa bukti dan mengatakan yang salah itu sebagai benar dan yang tidak wajar sebagai wajar. Fitnah itu sedang ganas mengorek keluar segala kewarasan daripada tingkat akal yang dibutakan oleh nafsu. Jawapan demi jawapan telah Allah turunkan, adakah kamu masih gagal menggunakan akal? Ada jawapan yang telah diturunkan sejak lebih 1,400 tahun lalu melalui al-Quran, dan ada juga yang diturunkan selepas kamu meminta ditunjukkan kebenaran namun gagal untuk melihat berfikir mengenainya.

Para pengikut politik dungu pula tidak langsung mahu berfikir mengenai itu semua, sebaliknya hanya menerima setiap input yang disuapkan ke dalam minda mereka tanpa usul periksa. Ia berlaku sehingga para pengikut menjadi gagal untuk memahami setiap perintah Allah meskipun perintah-perintah itu Allah telah nyatakan secara jelas dalam al-Quran.

Walaupun isu kalimah Allah yang mahu digunapakai di gereja-gereja di negara ini sudah lama berlalu, namun isu itu sangat mencabar akidah umat Islam. Ada puak yang mengaku Islam berasa tidak kisah apabila nama Allah mahu diguna pakai dalam akidah triniti di gereja-gereja. Bagi puak ini, lantaklah kalau umat Nasrani mahu menggunapakai nama Allah dalam akidah triniti mereka. Bagi puak ini, walaupun nama Allah digunapakai dalam akidah triniti, mereka merasakan ia tidak akan mengganggu gugat akidah umat Islam yang percaya Allah itu Esa, Satu dan tidak boleh disekutukan.

Ia bukan berkenaan itu semua wahai saudara-saudara sekalian, bukan berkenaan “lantaklah” itu. Tetapi berkenaan kejujuran prinsip dan akidah kita dalam menjunjung perintah Allah supaya tidak mempersekutukan Allah dalam apa jua keadaan sekalipun.

Allah menegur kaum Nasrani dan Yahudi dalam sekian banyak ayat dalam al-Quran kerana mempersekutukan-Nya seperti dalam kes Nabi Isa dan Uzair (Ezra). Allah tidak membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia, dan perintah itu disampaikan melalui al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dengan perantara Malaikat Jibrail.

Allah sendiri tidak membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia, tetapi bagaimana pula sebilangan umat Islam di negara ini boleh membenarkan nama-Nya diguna pakai di gereja-gereja Nasrani? Selak, buka dan baca al-Quran. Fahami segala maksud perintah Allah yang tidak membenarkan nama-Nya disekutukan.

Semasa isu itu berlegar suatu masa dahulu, tiada seorang pun ahli politik yang mengaku diri itu Islam tampil dengan ayat-ayat al-Quran yang membenarkan nama Allah disekutukan oleh Nasrani. You failed to use your head, you failed to look at The Holy Quran. Kenapa jadi bodoh sombong dan riak takbur mendabik dada seperti kamu sahaja yang bijak dalam hal agama dan hanya kamu sahaja yang layak berbicara soal agama dengan pendapat bertaraf otak manusia biasa walhal sangat jelas kebodohan kamu itu? Apa agama itu milik kamu seorang dan boleh ubah sesuka hati?

Tiada seorang pun yang tampil dengan dalil-dalil jelas dari al-Quran yang membuktikan bahawa Allah bertolak ansur membenarkan nama-Nya disekutukan. Tiada pula mana-mana ayat yang memerintahkan supaya umat Islam redha apabila Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Allah. Sila tunjukkan satu ayat daripada al-Quran yang mana ayat itu membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Allah, sila tunjukkan satu ayat.

Malangnya, isu itu hanya dijawab oleh ahli-ahli politik berdarjat tertentu dengan pendapat-pendapat yang hanya bertaraf ‘pendapat manusia’ dan bukan bertaraf ‘perintah dari Allah’. Isu itu gagal dijawab dengan mana-mana ayat al-Quran yang bertaraf ‘perintah Allah’. Sila tunjukkan satu ayat sebelum merelakan nama Allah digunapakai di gereja-gereja Nasrani. Hanya satu ayat, itu pun kalau ada.

Lagi malangnya, ahli-ahli politik itu tampil dengan pendapat yang bertaraf ‘pendapat manusia’ yang mengatakan Islam mementingkan bertolak ansur dalam agama, hanya itu sahaja pendapat bertaraf pendapat manusia yang ‘menjual’ atas nama ‘tolak ansur’ dalam Islam. Jika benar seperti yang diperkatakan dalam pendapat itu, sila tunjukkan satu ayat yang menunjukkan Allah bertolak ansur mengenai isu manusia mempersekutukan-Nya? Namun, yang didengar hanya masih pendapat bertaraf ‘pendapat manusia’ dan gagal tampil dengan ayat bertaraf ‘perintah’.

Allah tidak bertolak ansur dalam hal ehwal kaum kafir yang mempersekutukan-Nya. Allah dengan terang membentak tolak ansur itu sebagai menjawab pelawaan Bani Quraisy yang kafir kepada Nabi Muhammad yang mahu menyembah Allah selama setahun dan menyembah berhala selama setahun secara berselang seli, Allah tidak bertolak ansur dan secara terang berfirman “Bagi agama mu adalah agama mu, (dan) agama Ku adalah agama Ku.” Jelas, tiada tolak ansur dalam soal akidah.

Isu kalimah Allah di gereja suatu masa dulu itu adalah ujian kepada akidah umat Islam di negara ini. Ia persoalan akidah. Bukan mengenai “lantaklah”. Triniti adalah akidah Nasrani, manakala Tauhid dalam meng-Esa-kan Allah adalah akidah Islam. Allah tidak pernah berkompromi dalam soal akidah seperti Dia menjawab permintaan Bani Quraisy yang kafir. Tidak pernah dalam satu ayat pun.

Begitu juga dalam sekian banyak ayat dalam al-Quran yang mana Allah menegur supaya Nasrani dan Yahudi berhenti daripada mempersekutukan Dia. Sekali lagi ahli politik yang mengaku Islam perlu menjawab pertanyaan saya, tunjukkan satu ayat yang mana Allah membenarkan nama-Nya disekutukan dan satu lagi ayat yang membenarkan umat Islam redha nama-Nya disekutukan atas dasar tolak ansur dalam soal agama.


Al-Quran adalah pegangan kita, kitab yang kita peluk bersama iman kita. Tetapi dalam menjawab isu itu, kita juga harus berbalik kepada al-Quran. Tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang membenarkan kafir mempersekutukan Allah dan tiada satu ayat pun yang membenarkan umat Islam redha nama Allah disekutukan. Kalau ayat itu memang ada, sila tunjukkan kepada saya.

Perintah Allah yang paling jelas dalam banyak ayat ialah mengenai perintah-Nya ke atas kita supaya meng-Esa-kan Dia. Perintah itu juga ditujukan kepada umat Nasrani dan Yahudi. Perintah itu untuk semua umat manusia. Jika perintah itu untuk seluruh isi alam mencakupi isi langit dan bumi, di mana letaknya tolak ansur dalam soal akidah? Tiada kompromi dalam perintah meng-Esa-kan Allah. Semua manusia termasuk dalam perintah itu, tidak yang berkecuali kerana Islam adalah akidah untuk umat akhir zaman.

Apabila terasa dungu seketika dalam memikirkan kejadian langit dan bumi, sila buka al-Quran. Apabila terasa dungu seketika dalam memikirkan soal masalah manusia, sila buka al-Quran. Apabila terasa dungu seketika dalam memikirkan kedudukan kita dalam meniti soal akidah, sila buka al-Quran.

Kenapa perlu meletakkan pendapat yang bertaraf ‘pendapat manusia’ melebihi dalil yang bertaraf ‘perintah Allah’? Di situ terletak kedunguan apabila meletakkan ‘pendapat bertaraf pendapat manusia’ melebihi ‘perintah Allah’. Kedunguan itu akan terus membiak apabila enggan kembali memperhalusi isi kandungan al-Quran, kedunguan akan terus menjadi degil seperti sarang kerang di bawah perut kapal yang sukar ditanggalkan apabila malas berfikir mengenai segala perintah-Nya.

Redha nama Allah disekutukan adalah sama seperti ingkar perintah Allah. Kenapa saya berkata seperti itu, cubalah berfikir sendiri dengan menggunakan akal yang telah Dia berikan secara percuma kepada kita semua.
--

Isu Lina Joy juga berkaitan prinsip dan kedudukan iman kita terhadap isu itu. Bukan mengenai “lantaklah” kalau Lina Joy mahu murtad. Isu ini juga gagal dijawab secara berprinsip dan gagal dijawab secara beriman.


Sebaliknya, wujud pihak-pihak berkepentingan politik tertentu yang tampil dengan pendapat yang hanya ‘bertaraf pendapat manusia biasa’ yang menuding jari terhadap Perlembagaan Negara yang dikatakan lemah dalam membela umat Islam.

Isu Lina Joy adalah ujian daripada Allah dalam salah satunya ialah menguji kedudukan iman dan prinsip kita terhadap isu itu sendiri. Ia bukan mengenai Perlembagaan Negara yang dikatakan lemah dalam menangani masalah murtad. Ia bukan mengenai Lina Joy dibenarkan murtad kerana Perlembagaan dikatakan lemah.

Ia adalah mengenai prinsip kita dan iman kita. Isu itu harus dipandang dengan iman dan prinsip kita. Mengapa mesti ada yang tampil dengan pendapat ‘bertaraf pendapat manusia’ lalu mengatakan ia adalah hak Lina Joy untuk murtad. Mengapa prinsip dan iman harus diletakkan sebaris dengan hak manusia untuk murtad?

Lalu, pemain-pemain dan pengikut-pengikut politik tertentu pun mengangguk dengan pendapat yang sama. Di mana iman dan prinsip kita terhadap isu itu? Sila tunjukkan satu ayat yang membenarkan umat Islam dihalalkan berdiri dengan prinsip hak manusia dalam menjawab perihal murtad. Adakah kita diberi hak oleh Allah untuk mengangguk dalam isu itu? Apabila gagal menjawab, Perlembagaan segera dipersalahkan kerana ia dilihat lemah dalam menangani isu murtad.

Seperti dikatakan sebelum ini, ia bukan mengenai “lantaklah”. Ia mengenai iman, akidah dan prinsip kita dalam berhadapan isu ini. Mungkin beberapa orang politik dan pengikut mereka boleh berdiri dan bergaya dengan menyalahkan Perlembagaan yang dilihat lemah dalam isu itu. Namun, adakah mampu berdiri bergaya di hadapan Allah apabila ditanya mengenai kedudukan kita dalam berhadapan isu itu?


Apa jawapan yang mahu diberikan apabila ditanya di hadapan Allah: “Mengapa meletakkan hak manusia melebihi perintah Allah?” “Mengapa meletakkan kelemahan atas orang lain atau perkara lain sedangkan prinsip dan iman kamu sedang berdiri di atas lantai yang lain pula?”


Andai umat Islam tidak sesat (gagal menunjukkan akhlak yang baik) seperti sekarang ini, isu murtad tidak akan timbul. Andai umat Islam tidak sesat (gagal mentaati perintah meng-Esa-kan Allah dalam apa keadaan sekalipun) seperti sekarang ini, isu kalimah Allah di gereja tidak akan timbul.


Andai umat Islam tidak sesat (gagal mengawal nafsu kemewahan) seperti sekarang ini, bencana rasuah dalam kalangan penjawat agensi kerajaan tidak akan berlaku. Andai umat Islam tidak sesat (gagal mencari ilmu) seperti sekarang ini, umat Islam pasti tidak akan mudah mengangguk apabila hak Allah dipijak-pijak.


Lihat di mana kita berdiri. Adakah tempat kita berdiri itu sama ‘tempat’-nya dengan akidah kita, prinsip kita dan iman kita? Adakah prinsip hak manusia mengikut perlembagaan itu lebih mulia daripada kedudukan prinsip kita meletakkan perintah Allah itu yang lebih tinggi? Adakah tolak ansur mengikut pendapat yang ‘bertaraf pendapat manusia’ itu lebih tinggi daripada perintah Allah? Adakah kepala yang mengangguk laju sehingga terpelanting akal itu lebih suci daripada kewarasan yang mengikut perintah Allah?


Jangan melatah tanpa sebab, saya hanya minta tunjukkan satu ayat al-Quran bagi menjawab setiap satu isu tersebut. Jangan melatah tanpa menunjukkan ayat-ayat tersebut. Jangan melatah seperti orang yang hilang adab sopan dalam berbahasa sehingga memaki hamun tanpa menunjukkan ayat-ayat yang saya minta ditunjukkan kepada saya.
--


Entah di mana silapnya, orang kita sangat suka memaki hamun apabila berbicara mengenai politik. Saya tidak bercakap mengenai politik kepartian dalam artikel ini. Saya hanya bercakap mengenai perintah Allah yang menegah nama-Nya disekutukan, saya bercakap mengenai prinsip dan iman kita dalam menjunjung perintah Allah, lalu saya selitkan isu-isu seperti isu kalimah Allah, isu Lina Joy supaya ditunjukkan satu ayat kepada saya.


Saya tidak suka dengan politik yang bertuhankan demokrasi machiaveli, saya tidak suka dengan sikap sesetengah orang PAS sekarang ini yang semakin longlai menjawab banyak isu, saya juga tidak suka dengan keangkuhan sesetengah orang UMNO, saya juga tidak suka dengan sikap dayus sesetengah orang PEKIDA yang lebih berani ‘mencekik’ leher sesama Melayu tetapi hanya mampu tertunduk apabila berhadapan orang bukan Melayu yang membuat tuntutan yang tidak masuk akal sehingga mengguris hati orang Islam di negara kita, saya tidak suka dengan sikap sesetengah orang PKR yang lebih suka mengelak daripada menjawab banyak isu secara realistik membabitkan isu Islam.


Saya tidak cakap yang saya tidak suka PAS, UMNO dan PKR secara total. Saya hanya berkata bahawa saya tidak suka dengan sesetengah daripada mereka. Juga jangan cepat melatah dalam memahami maksud ini.


Saya hanya mahu Islam diletakkan di tempat yang sepatutnya oleh umat-umatnya di negara ini, dalam isu ini pula saya tidak menyebut ‘sesetengah umat Islam’ tetapi saya maksudkan semua umat Islam di negara ini.


Allah, Tuhan sekalian alam. Kita diperintahkan untuk menyembah-Nya secara total dan perintah itu bukan eksklusif kepada orang Islam sahaja, tetapi perintah itu tertakluk kepada seluruh isi langit dan bumi serta makhluk-makluk yang digelar jin dan manusia.


Meng-Esa-kan Allah adalah perintah yang haq. Mempersekutukan Allah pula adalah perbuatan yang bathil. Mengatakan Allah itu disembah dalam bentuk triniti pula adalah satu fitnah yang sangat besar terhadap Allah dan rasul-Nya iaitu Isa anak Maryam, anak manusia dilahirkan tanpa bapa dengan izin Allah, Isa itu bukan anak Allah. Bukan.


Apabila wujud keadaan di mana umat Islam berkata “lantaklah” kalau nama Allah mahu disekutukan di gereja Nasrani, maka ia juga bermaksud sudah tiada jiwa jihad untuk menentang fitnah yang sangat besar itu. 


Tiada lagi roh jihad. Tiada lagi roh dalam diri yang mahu mentaati perintah Allah supaya tidak sesekali mempersekutukan Dia dalam apa keadaan sekalipun termasuk meredhakan nama dia disekutukan di gereja.


Di mana roh iman dan roh jihad itu wahai saudara-saudara semua? Di dalam gereja bersama Roh Kudus yang menjadi salah satu daripada akidah triniti kah?


Ingat, ingat dan terus ingat. Ingat bahawa Nasrani dan Yahudi juga Allah telah tegur dalam al-Quran kerana mempersekutukan Dia. Allah sendiri tidak membenarkan nama-Nya disekutukan dalam apa keadaan sekalipun. Kalau Allah sendiri tidak membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia, jadi apakah hak kita untuk membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia dengan hanya bersandarkan pendapat-pendapat manusia yang hanya ‘bertaraf pendapat manusia’ semata-mata? Apa hak kita untuk meredhakan atau membenarkan nama Allah disekutukan? Apa hak kita? Ingat, ingat dan terus ingat.

Jangan pernah lupa dengan isu ini walaupun ia sudah dianggap basi di kalangan pengikut politik yang bergantung hidup kepada isu-isu sensasi terkini.
--


Isu kalimah Allah dan isu Lina Joy telah berlangsung dalam periuk kecil bernama ‘politik demokrasi’ di Malaysia. Periuk kecil itu pula menjadi gelanggang para pemain politik dan pengikut mereka untuk memuntah keluarkan semua perintah Allah dalam roh diri mereka supaya menjadi kuah dalam periuk itu. Tanpa sedar, ada api di bawah periuk itu yang akan terus menyala sehingga semua yang berada dalam periuk itu musnah dan mendidih kerana berdiri di tempat yang tidak sepatutnya iaitu meletakkan perintah Allah menjadi lebih rendah daripada hak manusia dan hak tolak ansur dalam beragama.


Saya tidak ambil pusing kalau sesiapa bermain politik demokrasi kerana mahu menjadi ketua dalam kerajaan negara ini asalkan dia itu Islam dan menjunjung tinggi perintah-perintah Allah.


Andai ada puak-puak pengikut politik kanak-kanak atau zombi-zombi politik yang mahu memaki hamun blog ini disebabkan isi kandungan artikel ini yang menempelak sesetengah daripada kamu, saya juga tidak ambil pusing kerana matlamat saya bukan politik yang menjadi santapan harian sesetengah daripada kamu. 


Matlamat saya ialah umat Islam perlu menjunjung tinggi perintah Allah melebihi pendapat-pendapat yang ‘bertaraf pendapat manusia’.


Andai ada yang mahu memaki hamun seperti yang saya lihat dalam beberapa blog politik, saya hanya minta ditunjukkan ayat-ayat yang saya minta itu terlebih dahulu. Andai ada ayat-ayat itu dalam al-Quran, barulah kamu boleh memaki hamun saya.


Saya tidak benci PAS walaupun saya kecewa dengan sebilangan pemimpinnya yang bodoh lagi dungu, saya juga tidak benci UMNO walaupun kecewa melihat keangkuhan dan kesombongan sebilangan daripada ahli-ahlinya, tetapi saya kecewa dengan kedua-dua UMNO dan PAS kerana mereka gagal menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam di negara ini yang rata-ratanya ialah orang Melayu seperti saya. Bukan maksud saya UMNO perlu bergabung dengan PAS jika mahu jadi lebih kuat, tetapi kecewa kerana kedua-dua parti politik Melayu yang masing-masing dengan perangai buruk masing-masing itu gagal berbicara seperti orang cerdik dan matang dalam menyelesaikan masalah berkaitan Islam dan perpaduan umat Islam.


Ingat, ingat dan terus ingat. Allah juga memberi amaran supaya berwaspada dengan Yahudi dan Nasrani yang tidak akan pernah redha dengan umat Islam sehingga hari kiamat. Yahudi dan Nasrani tidak akan sesekali redha dengan kita umat Islam. Oleh itu, kenapa redha nama Allah disekutukan mereka sedangkan mereka itu tidak akan pernah meredhai kita?


Bagaimana kita mahu meningkatkan tahap kewaspadaan kita itu? Selesaikanlah masalah yang memecah belahkan umat Islam di negara ini gara-gara politik bodoh semua itu. Politik bodoh itu bukan hanya memijak-pijak perintah-Nya supaya bersatu sebagai saudara se-Islam, tetapi turut memusnahkan kewarasan umat Islam yang menjunjung politik menjadi lebih tinggi daripada segala perintah-Nya.

Fahami betul-betul isi kandungan artikel ini, ia bukan mengenai politik kanak-kanak. Ia mengenai perintah Allah yang sudah dipijak-pijak oleh umat Islam sendiri atas nama politik yang bodoh lagi dungu sehingga tidak lagi mengenali mana satu perintah Allah dan mana satu keghairahan nafsu politik undian.


Lihat semula di mana kita berdiri. Adakah kita berdiri di atas tempat yang diperintahkan-Nya atau di atas tempat yang salah. Lihatlah kepada setiap petunjuk yang telah Dia turunkan, kemudian berfikirlah dengan tenang. Jika pernah membenarkan kaum kafir mempersekutukan nama-Nya dengan berkata “lantaklah”, maka bertaubatlah kerana Allah sendiri tidak membenarkan nama-Nya disekutukan oleh mana-mana manusia.

Berhentilah daripada terus menjadi bodoh. Junjunglah tinggi-tinggi segala perintah-Nya.
Jangan sampai Allah membalas semua perbuatan sebilangan daripada kita yang berselaput fitnah dengan perkataan yang sama “Lantaklah kamu di neraka kerana merestui fitnah”.



- DRIFTER -
Nota dan makluman: DRIFTER adalah penulis undangan di blog ini dan artikel ini tidak berkepentingan politik yang melebihi agama Islam.

Wednesday 7 September 2011

MASALAH?

DALAM keghairahan mengejar objektif berbentuk material dan kuasa, ramai perlahan-lahan berubah menjadi semakin leka dan alpa serta lupa. Menjadi alpa semasa gigih berusaha menyelesaikan masalah masing-masing, menjadi leka mengejar cita-cita sendiri, menjadi lupa kepada objektif sebenar (prime objective) yang mengatasi segala objektif-objektif minor yang lain. Mesti ada sebab yang menyumbang kepada perubahan kita menjadi lupa dan alpa. Mesti ada sebab. Mesti.

Katakan, kita dihujani masalah, kemudian berusaha menyelesaikan masalah-masalah itu. Mahu atau tidak mahu, masalah itu perlu diselesaikan dan jika tidak segera diselesaikan, fikiran kita akan terus bercelaru. Masalah itu mungkin melibatkan bayaran ansuran kereta, rumah, pinjaman bank dan sebagainya yang terdiri daripada angka-angka yang mewakili urusan jual beli. Angka-angka itu pula semakin menyesakkan dan perlu diselesaikan setiap bulan selama bertahun-tahun dan berpuluh-puluh tahun.

Fikiran hanya tertumpu kepada seribu satu cara untuk menyelesaikan masalah yang tidak pernah selesai walaupun diselesaikan setiap bulan. Dalam masa yang sama, setiap orang pula menetapkan objektif masing-masing dalam kehidupan seharian. Objektif itu pula perlu difikirkan untuk memastikan ia tercapai dengan beberapa cara yang difikirkan sesuai. Sekali lagi akal fikiran bekerja untuk membantu kita mencapai objektif pencapaian dalam kehidupan selain objektif kewangan. Akal menjadi semakin penat bekerja.

Apabila fikiran hanya berperanan memikirkan kepada masalah-masalah dan objektif-objektif dalam kehidupan, ia lama kelamaan bertukar menjadi suatu fokus. Fikiran dipusatkan kepada satu arah yang memerlukan kita mencapai setiap perkara yang perlu segera diselesaikan. Hampir setiap masa, fikiran akan mengira wang, jumlah hutang, objektif hidup, apa mahu makan hari ini dan sebagainya. Hanya itu yang difikirkan. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.

Ligat memikirkan wang yang tidak cukup untuk mengisi petrol atau diesel kenderaan, ligat lagi memikirkan barang-barang dapur yang semakin berkurangan ketika tiba pertengahan bulan, terus ligat memikirkan bayaran hutang pinjaman yang tertunggak, bil telefon, ligat memikirkan kos hidup yang sentiasa meningkat akibat kedunguan kerajaan mengatur strategi bagi membantu memantapkan ekonomi isi rumah.

Para lepasan universiti pula ligat memikirkan ‘hutang yang automatik tercipta’ sebaik sahaja menamatkan pengajian dengan bantuan pinjaman PTPTN yang mencekik darah. Golongan yang sama juga ligat memikirkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang ‘setimpal’ dengan pengajian tinggi semasa di universiti, berfikir dan berfikir kenapa masih menganggur dan hanya mampu bekerja sambilan dengan gaji kecil yang tidak mampu membeli apa sahaja barangan dalam kategori mewah seperti rakan-rakan mereka yang lain. Berfikir dan terus berfikir.

Kumpulan peniaga yang berniat mahu memperbesarkan perniagaan pula ligat berfikir untuk mendapatkan tambahan modal selepas gagal mendapat pinjaman daripada bank-bank perdagangan. Ada yang ambil keputusan membuat pinjaman daripada ceti-ceti haram dan akhirnya terhimpit dengan pelbagai ancaman selepas gagal menyelesaikan kadar bunga yang semakin menggunung. Berfikir ligat untuk menyelesaikan masalah hutang ahlong walaupun niat itu baik untuk jihad memakmurkan ekonomi keluarga dengan menceburi perniagaan, terhimpit dan terhimpit, berfikir dan terus berfikir. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.

Ada pula yang ligat berfikir apa lagi cara untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan ada pula yang terpaksa menggadai tanah hanya untuk melangsai hutang kad kredit bank-bank komersial. Jika tidak diselesaikan segera, akan berdepan dengan pengisytiharan muflis. Ligat berfikir, adakah akan muflis hanya semata-mata kerana hutang kad kredit yang pada asalnya hanya $5,000 dan beranak pinak menjadi puluhan ribu ringgit, dolar, jutaan rupiah, atau apa-apa gandaan hutang dalam apa-apa mata wang sekalipun akibat faedah atau bunga kad kredit yang memeritkan. Orang-orang kita ligat berfikir mengenai masalah-masalah yang melanda diri mereka dalam urusan seharian. Semua itu sungguh memenatkan.

Ada yang sanggup mencuri kerana tekanan hidup untuk menyelesaikan masalah wang, ada yang menipu, ada yang menjual dadah, ada yang menjual harga diri dan banyak lagi perkara-perkara salah yang dilakukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit diri. Semua itu mesti ada sebab mengapa ia berlaku.

Setiap masalah yang melanda, mesti ada sebab-sebabnya. Apakah sebab-sebab itu wahai saudara-saudara. Adakah sebab semua barang di dunia ini perlukan wang? Adakah sebab kita hanya perlu berhutang barulah kita boleh hidup seperti orang lain? Adakah sebab kita perlu hidup bergaya walaupun terpaksa dibebani hutang hingga akhirnya papa kedana? Adakah sebab sistem mata wang ini memang menekan hidup kita? Apa sebab-sebabnya wahai saudara-saudara yang dihormati semua? Apa?

Teringat kepada satu kisah nabi. Nabi memberi kita satu panduan yang sangat berguna untuk menyelesaikan masalah-masalah itu semua. Nabi pulang ke rumah dan bertanya kepada Aisyah mengenai apakah yang ada untuk dimakan pada hari itu. Aisyah memberitahu, tiada makanan untuk dijamah pada hari itu. Nabi membalas, “kita berpuasa sunat sahaja hari ini”. Selesai masalah. Pahala pun dapat.

Ada banyak yang boleh dipelajari daripada kisah sependek itu. Kisah pendek itu juga amat membantu kita membuka kewarasan terhadap menilai semula masalah-masalah yang kita hadapi pada hari ini.

Kita dan fikiran kita hanya tertumpu kepada masalah, masalah dan masalah. Atas sebab itu, kita hanya berfikir mengenai bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah itu tanpa menghalakan fikiran ke arah sudut satah yang sewajarnya. Disebabkan ligat berfikir masalah yang bakal mendatang, impian bisnes tergendala kerana tidak berani menganggung risiko yang sebenarnya boleh dihitung.

Bangun pagi, celik mata, sudah mula berfikir mengenai masalah. Solat Subuh pun jadi tidak fokus kerana fikiran bercelaru dengan masalah, masalah dan masalah. Jadi apa sebenarnya yang kita fikirkan sehingga hidup menjadi tidak keruan wahai saudara semua?

Kita hanya fokus memikirkan kantung duit dan kehendak nafsu sehingga menjerumuskan kita ke dalam pelbagai masalah yang menyesakkan ketenangan fikiran. Itulah masalah kita semua apabila gagal menentukan kepentingan mana yang lebih penting melebihi lain-lain kepentingan. Fikiran kita gagal fokus kepada kepentingan yang sepatutnya ia berfikir dengan cara yang sepatutnya. Akibatnya, fikiran kita memilih tanpa sedar untuk hidup diselubungi masalah, masalah dan masalah.

Tanpa kita sedar, masalah yang kita sedang hadapi itu dijadikan pula sebagai peluang kepada orang lain untuk mencapai cita-cita mereka sama ada cita-cita kewangan, kedudukan atau sebagainya.

Katakan Ali ada masalah wang, ia jadi peluang kepada Ah Choo untuk menawarkan pinjaman kepada Ali. Akibatnya Ali terjerat hutang dengan lintah darat. Ah Choo pula memang sedia hidup bermasalah diselubungi permusuhan kongsi-kongsi gelap. Kongsi gelap pula mempunyai masalah dengan polis yang menguatkuasakan undang-undang. Polis pula menghadapi masalah untuk mengawal kongsi-kongsi gelap itu semua dan lain-lain kes jenayah yang berpunca daripada kehendak nafsu manusia yang menginginkan wang. Disebabkan wang, ada juga polis terjerat masalah rasuah.

Ah Choo pula ada masalah dengan isterinya, jadi Steven ada peluang untuk menawarkan khidmat pelacur kepada Ah Choo. Kemudian Ah Choo dibelenggu pula masalah jangkitan HIV. Semuanya berputar dalam darjah masalah yang tersendiri. Ia berputar disebabkan oleh satu masalah yang kemudian membuahkan masalah-masalah yang lain. Akibatnya, masalah yang bermula dengan satu ‘letusan’ kecil akan terus meledakkan hidup semua orang. Semua orang akan terus berfikir dan berfikir bagi menyelesaikan masalah masing-masing yang berpunca daripada kantung duit dan kehendak nafsu.

Nabi sudah mengajar kita, kalau tiada apa untuk dijamah, lebih baik berpuasa sunat. Ia juga pada masa sama akan mendidik nafsu. Apabila nafsu terdidik dengan baik, jiwa akan mendekati sifat sabar. Sabar juga membantu jiwa akur kepada ketentuan dan menjadi tenang. Tenang pula membantu kita berfikir dengan baik. Berfikiran baik pula membantu kita menjadi bebas sebebasnya daripada masalah-masalah dan prasangka-prasangka dunia. Cukup sempurna, yang diajar oleh nabi kita memang cukup sempurna. Bersegeralah selawat dan salam kepada baginda.

Melalui kisah pendek itu juga, nabi mengajar kita untuk memilih jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah melalui cara berfikir yang terbaik. Mudah, kalau tiada makanan, kita berpuasa. Pilihannya ialah berpuasa dan nabi tidak memilih cara lain untuk menyelesaikan masalah itu walaupun akan pasti ada orang yang memberi makanan kepada baginda sekiranya baginda meminta sedikit makanan daripada mereka.

Nabi memilih untuk berpuasa sebagai jalan penyelesaian. Nabi akur kepada ujian Allah yang menentukan tiada makanan untuk baginda dan isterinya Aisyah pada hari itu, lalu nabi berserah kepada Allah dan nabi pilih ke jalan Allah untuk menyelesaikan masalah itu, jalan itu ialah berpuasa sunat ke jalan Allah. Menangislah berselawat ke atas nabi. Sesungguhnya nabi telah mengajar kita cara terbaik untuk menyelesaikan masalah iaitu kembali kepada Allah yang Maha Pemurah dalam menentukan urusan rezeki-Nya ke atas kita. Usah terlalu fikir masalah dan cara penyelesaiannya, rezeki itu urusan Allah.

Andai terus fokus berfikir mengenai kantung duit dan kehendak nafsu, sampai dunia kiamat pun tidak akan pernah selesai. Lebih parah, pihak lain pula akan dipersalahkan apabila kita sendiri yang memilih untuk dibebani masalah.

Kalau saudara-saudara semua mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi, renungi dan teladani kisah pendek yang pernah dilalui nabi ketika hayat baginda. Jika mahu mengelak daripada dihujani masalah-masalah kantung dan nafsu, juga perlu teladani kisah pendek itu. Kisah teladan yang memberi perubahan besar kepada hidup. Contohi nabi, maka sempurnalah kehidupan.

Saya tidak mahu menyediakan jawapan kepada bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kantung duit yang saudara semua hadapi. Pesan saya cuma satu, belajarlah daripada nabi kita yang seluruh zaman dikasihi oleh seluruh isi langit dan bumi.

Don’t get twisted and tangled by problems which occurred by our ownselves..

-ADMIN-

Friday 2 September 2011

TWIST

------------------------------------------------------------------------------
Makluman: Drifter adalah penulis jemputan bagi blog ini dan pendapat beliau tidak mewakili keseluruhan pendirian Umat Terakhir dalam sesuatu isu yang beliau sentuh. Artikel ini tidak bercakap mengenai politik secara keseluruhan, ia hanya menyentuh mengenai keadaan semasa yang berlaku dan isu itu diambil sebagai contoh bagi memudahkan pemahaman terhadap terma 'twist' dalam artikel ini. Seperti dimaklumkan dalam artikel-artikel awal dalam edisi ketiga ini, sentimen dan emosi kepartian bukan tujuan sebenar blog ini. Sila ketepikan emosi kepartian anda jika anda adalah penyokong tegar mana-mana parti politik. Mohon maaf sekiranya bahasa yang Drifter gunakan berbunyi agak keras dan harap maklum. Ini bukan artikel politik.
------------------------------------------------------------------------------



APABILA orang yang pernah bercakap mengenai sesuatu perkara selepas ucapannya pada beberapa tempoh terdahulu dengan kemudiannya pula mengatakan bahawa dia tidak ingat mengenai setiap butir yang diperkatakannya sebelum itu menunjukkan orang itu pada ketika itu sebenarnya bercakap semberono seperti burung kakak tua yang langsung tidak memahami setiap butir perkataannya.

Orang itu pada ketika itu bercakap mengenai perkara A, kemudian selang beberapa minggu ia menjadi isu di kalangan orang awam. Apabila ditanya mengenai mengapa dia bercakap mengenai perkara A, dia beritahu bahawa dia sendiri pun tidak ingat apa yang diperkatakannya pada tempoh beberapa minggu sebelum itu. Dia sendiri mengaku tidak ingat mengenai setiap apa yang diucapkannya. Dia sebenarnya bercakap seperti burung kakak tua. Dia bercakap pada hari ini, kemudian dia sendiri tidak ingat.

Tidak ingat pula bermaksud tidak bercakap dengan menggunakan akal yang sihat dan waras untuk disimpan di dalam memori. Bahasa mudahnya ialah bercakap sambil lewa tanpa memberi perhatian terhadap setiap butir perkataan yang diucapkan.

Tanpa perhatian, minda dan akal tidak mampu memberi fokus dan kesannya ialah tidak ingat mengenai setiap patah perkataan yang pernah diucapkan. Kemudian apabila diterjah untuk membahaskan mengenai perkataan-perkataan yang pernah diucapkan, orang itu akan mula garu kepala memikirkan semula isi-isi perkataan yang pernah diungkapkan secara zahir kepada umum. Itu mengenai orang yang bercakap. Orang yang bercakap itu pula barangkali terdiri daripada kalangan pemimpin atau ketua-ketua masyarakat yang sentiasa mempunyai audiens terhadap setiap percakapannya.

Orang yang taksub mengangguk meskipun mendengar perkataan-perkataan daripada ucapan yang tidak berlandaskan fakta kukuh yang dipertikai itu juga sebenarnya mengangguk tanpa berfikir terhadap fakta.

Walaupun orang yang bercakap itu mengaku tidak ingat mengenai ucapan yang pernah dilaungkan, kumpulan pendengar yang taksub tetap berkeras mempertahankan orang yang berucap itu. Kumpulan pendengar itu tetap setia mempertahankan orang yang berucap itu walaupun orang yang berucap itu sebenarnya bercakap tidak menggunakan akal sehingga akhirnya mengaku tidak dapat ingat mengenai setiap butir ucapannya.

Umpama menjadi murid darjah satu dalam kelas matematik dan berguru pula kepada seorang guru matematik yang tidak pernah ingat sifir atau guru yang tidak pernah faham hukum gandaan sifir. It is like a blind sheepdog herding a herd of blind sheep, the dog goes to ravine and so do the sheep.

Untuk menyelamatkan diri, orang itu perlu segera menggunakan akal bagi mempertahankan kenyataannya sebelum itu. Dia boleh memilih untuk diam kerana takut tersalah pilih perkataan (mute) atau memilih untuk mengaku kesilapan (admit) atau memilih untuk menterbalikkan cerita sebenar (twist).

Dalam konteks politikus opportunist dalam zaman yang dikatakan sebagai politik baru ini, seseorang tanpa mengira parti biasanya akan memilih twist. Para pengikut yang taksub juga akan memilih twist bagi mempertahankan pemimpin mereka walaupun pemimpin mereka itu mengaku tidak ingat perkataan-perkataannya sebelum itu. Pemimpin itu akan memilih twist apabila pengikut memulakan twist kerana pemimpin itu amat memerlukan pengikut ketika terperangkap dalam kesilapan sendiri.

Mindgame ini sangat mudah difahami jika kita serius memerhati setiap langkah tarian sang politikus dalam apa bentuk tempo sekalipun. Kebiasaannya, lantai akan segera dipersalahkan apabila tarian mula sumbang dengan gerakan-gerakan ad-lib yang menjengkelkan. Pemimpin dan pengikut akan terus menari di atas lantai yang dipersalahkan.
---

TWIST (Menterbalikkan fakta)

Fakta akan diterbalikkan apabila ada peluang. Fakta akan tetap berdiri teguh sebagai fakta, tetapi ia akan diterbalikkan dengan cara meletakkan yang haq kepada bathil. Ia seperti mempertahankan seorang penyamun kononnya sebagai hero yang menyelamatkan mangsa samun daripada penyamun ketika dalam perbicaraan di mahkamah walhal dia itulah penyamun sebenar yang menyamun si mangsa. Ia seperti penyamun yang menjerit menuduh orang lain sebagai penyamun.

Katakan ini sebagai satu lagi contoh selain contoh awal dalam bahagian atas, beg tangan seorang wanita dilarikan oleh seorang penyamun tanpa mangsa itu sempat melihat wajah sang penyamun itu. Kemudian seorang lelaki mengejar penyamun itu, kemudian penyamun itu ditangkap oleh lelaki itu di sebuah lorong yang tiada saksi.

Untuk menyelamatkan diri apabila orang ramai mula berpusu-pusu hadir ke lorong tadi untuk menyaksikan kejadian, penyamun itu kemudian menjerit bahawa dia bukan penyamun dan sebaliknya lelaki yang membelasahnya itulah penyamun. Dia beritahu dia dibelasah ketika cuba menangkap lelaki yang difitnahnya sebagai penyamun walhal dialah penyamun sebenar.

Jeritannya itu pula didengar oleh beberapa saksi yang boleh dibawa ke mahkamah untuk memberi keterangan di kandang saksi. Saksi pula dikelirukan dan tidak pasti siapakah penyamun sebenar. Wanita pemilik beg tangan itu pula tidak mampu memberi keterangan kerana tidak sempat melihat wajah penyamun itu.

Penyamun itu mempunyai peluang untuk melakukan twist. Namun, dia akan terperangkap dalam penipuan keterangannya sekiranya ada saksi lain yang melihatnya berlari sambil membawa beg tangan wanita sebelum masuk ke dalam lorong itu pada hari dan masa kejadian di tempat kejadian. Dia akan tumpas di muka pengadilan jika saksi itu tampil memberi keterangan bagi pihak pendakwaraya di mahkamah. Dia juga akan dituduh dengan pertuduhan baru iaitu memberi keterangan palsu di mahkamah dan perlu berhadapan dengan himpitan fakta-fakta sebenar berkaitan kes yang dihadapinya. Pada ketika itu, twist akan memakan dirinya sendiri.

Meletakkan yang haq kepada bathil dan yang bathil kepada haq palsu adalah syarat utama dalam permainan twist. Ia bukan pembunuhan karekter jika ia melibatkan sesebuah persoalan yang berputar dalam persekitaran fakta. Dalam sesetengah situasi pula, twist juga mampu membunuh sesebuah karekter selain mampu menterbalikkan fakta sebenar berhubung peristiwa atau perkembangan sesuatu isu dengan niat untuk mengelirukan audiens bagi meraih sejemput sokongan politik di muka bumi yang tidak kekal ini.

Twist banyak digunapakai dalam persekitaran politik Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika seseorang mampu berfikir terhadap fakta dan keterangan-keterangan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus, kita akan mampu melihat bagaimana twist dimainkan dengan mood tarian politik yang sangat bodoh di Malaysia ini.

Setiap usaha mempertahankan seseorang pemimpin politik akan selalu ada twist, tetapi kenyataan penterbalikkan twist itu dilafazkan dengan keterangan-keterangan yang kurang cerdik dan terputus-putus oleh para pengikut dan juga politikus itu sendiri. Namun, walaupun keterangan kerap terputus-putus dan gerak tarian kerap sumbang, lantai akan tetap dipersalahkan dan terus mengangguk-angguk mengikut irama lagu politik yang dinyanyikan oleh para politikus pujaan mereka.
--

Blog ini pernah bercakap sedikit mengenai komunis sebelum ini dan dirasakan kita sambung sedikit mengenai komunism.

Parti Komunis Malaya (PKM) menjunjung cita-cita Komunis Antarabangsa (Comintern) serta sedia bernaung di bawah panji Komunis Rusia untuk mewujudkan jaringan negara-negara komunis dengan mendokong fahaman Marxism yang menolak semua unsur agama dan ketuhanan.

Sekiranya PKM berjaya menghalau British keluar dari Malaya sekalipun, kebebasan mengamalkan ibadah di kalangan Muslim akan tergadai tanpa sebarang kompromi daripada pemerintahan penganut komunism. Jika komunis berjaya menjadi wira kemerdekaan sekalipun sebagaimana diucapkan oleh seorang politikus tempatan beragama Islam masa kini, Islam akan terkulai dilupuskan komunis di Malaya ini pada ketika itu.

Umat Islam di Malaya akan terhimpit sebagaimana umat Islam di Kazaksthan, Afghanistan dan lain-lain wilayah kecil pada ketika kekuasaan Soviet Union. Umat Islam di Malaya akan senasib terhimpit seperti wilayah-wilayah Muslim di Kesatuan Soviet.

Andai PKM berjaya 'memerdekakan' Malaya daripada British pada ketika itu sekalipun, Malaya tetap tidak akan merdeka kerana tertakluk kepada manifesto Comintern dalam hal ehwal pengkerajaanan komunis antarabangsa. Umat Islam akan terus terjajah di bawah kekuasan komunis walaupun ada Abdullah CD dan Suriani di dalam PKM. Namun, sejauh mana jaminan suara Abdullah CD dan Suriani akan didengari oleh PKM yang tegar Marxism Atheis? Tiada jaminan bermaksud tiada kepastian, tiada kepastian pula bermaksud wujud unsur was-was, apa pesanan nabi kepada kita mengenai setiap perkara yang wujud was-was dan syubahah? Nabi suruh kita teruskan dengan was-was atau nabi suruh kita tinggalkan perkara was-was?

PKM terus membuat kacau meskipun Malaya sudah merdeka. Berterusan membuat kacau sehingga tahun 1989. Andai Malaya sudah merdeka, apa lagi mahu membuat kacau sehingga 1989? Hasrat mereka untuk memerdekakan Malaya, betulkah? Tetapi, Malaya sudah merdeka pada 1957 dan mengapa mesti membuat kacau sehingga 1989? Ini persoalan di kalangan orang awam. Persoalan yang biasa didengar.

PKM mempertikai cara Malaya dimerdekakan melalui rundingan yang dibuat oleh sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan British dan akhirnya Malaya menjadi Persekutuan pada 1948. Sejak itu, PKM semakin menggila kerana tidak puas hati kerana Persekutuan Tanah Melayu telah meranapkan cita-cita mewujudkan sebuah republik komunis di rantau Asia Tenggara, PKM menembak mati semua termasuk orang Islam yang mereka syak sebagai pro-Jepun dan pro-Inggeris semasa Perang Dunia Kedua sehingga memaksa negara memasuki era Darurat. PKM mendakwa kemerdekaan Malaya pada 1957 secara rundingan dengan British adalah bukan kemerdekaan mutlak kerana Malaya akan menjadi boneka British.

Tetapi, bagaimana pula sekiranya PKM berjaya menghalau British dan kemudian bernaung pula di bawah Komunis Rusia? Bukankah tidak ubah seperti keluar dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya? Islam sudah tentu akan dibaham rakus oleh sang buaya komunis, tiada lagi surau dan masjid, tiada lagi istilah agama dalam hidup, masyarakat hidup tanpa agama, tanpa amalan hidup beragama dan Melayu yang tinggal pula tiada lagi panduan daripada al-Quran kerana sebarang jenis agama akan dilarang sama sekali oleh komunis. Kemerdekaan melalui komunis kah yang lebih baik? Malangnya, ada juga orang Islam yang mengangguk apabila komunis diangkat sebagai wira.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, setiap keputusan termasuklah keputusan untuk memilih cara memerdekakan negara, biarlah keputusan itu tidak menggadai agama yang kita pilih iaitu Islam. Setiap pilihan yang ada akan selalu ada sisi yang lemah dan juga sisi yang sedikit kuat walaupun pilihan itu tidak benar-benar kuat. Islam perlu diletakkan di atas, andai ada pilihan yang tidak menyisihkan Islam, maka kita sudah memasuki keadaan darurat dan perlu memilih jalan mana yang lebih baik daripada yang sekian buruk. Malah dalam keadaan darurat, sesetengah perkara diharuskan.

British meninggalkan negara ini dalam keadaan miskin dan daif serta diselubungi pelbagai masalah selepas hampir semua sumber kekayaan dibawa keluar untuk keuntungan British. Kisah pahit ini juga tidak wajar kita lupakan.

Kemerdekaan melalui rundingan dengan British bagaimanapun tidak merampas Islam daripada kita. Allah masih tidak merampas hidayah-Nya daripada umat Melayu dalam urusan Melayu memerdekakan tanah air mereka. Walaupun British meninggalkan Malaya selepas membenihkan proksi-proksi dalam persekitaran politik Malaya, Islam bagaimanapun tidak terusik dan umat Islam masih berada di bawah subjek raja-raja Melayu.

Namun andai komunis berjaya menghalau British sekalipun, komunis belum menjanjikan kedaulatan agama Islam kepada umat Islam di Malaya dan paling pasti ialah komunis berpegang teguh kepada penolakan terhadap sebarang agama.

Berfikir sekali lagi, cara kemerdekaan yang mana satu kah yang lebih baik kepada nasib umat Islam di Malaya ketika itu.. kemerdekaan melalui rundingan atau melalui komunis? Mana satu lebih baik walaupun ia dikatakan tidak benar-benar terbaik.

Kita bukan mahu mengagungkan British, saya sendiri tidak suka kepada penjajahan British dan apa bentuk penjajahan sekalipun. Tetapi, kita perlu belajar daripada sejarah kerana sejarah ialah fakta dan jika diterbalikkan fakta dalam apa bentuk 'goncangan' sekalipun, ia tetap tidak akan mampu mengubah fakta.

Fakta tidak akan berubah, tetapi awas kepada bahaya di mana kewarasan akan sentiasa dapat diterbalikkan apabila audiens mula gagal memperhalusi fakta dan gagal melihat keterangan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus.

Sebagai umat Islam yang waras akalnya, seseorang Muslim itu akan menolak apa sahaja bentuk fahaman yang menidakkan agamanya. Jika atheism menolak faktor kepercayaan kepada tuhan, maka Muslim yang waras akan terus menolaknya tanpa kompromi. Andai pula komunis itu dikatakan lebih manis daripada atheism kerana mencakupi kesaksamaan ekonomi (kononnya), ia juga akan ditolak oleh Muslim yang waras kerana komunism menganut atheism.
--

Islam secara akidahnya tidak berkompromi dengan sebarang unsur yang menolak Allah sebagai Maha Esa, Maha Pencipta, Maha Agung dan Maha Segala-galanya Yang Sempurna. Begitu juga dalam hal kalimah Allah yang disekutukan di gereja-gereja Nasrani.

Allah tidak mengizinkan nama-Nya disekutukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Andai ada manusia Muslim yang meredhakan atau mengizinkan atau membenarkan nama-Nya disekutukan oleh penganut agama lain, bagaimana pula hukumnya yang akan dijatuhkan kepada Muslim itu kerana Allah tidak sekali-kali mengizinkan nama-Nya disekutukan dalam apa jua keadaan sekalipun. Dalam apa jua keadaan sekalipun.

Meng-Esa-kan Allah adalah amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan kepada kita umat Islam. Andai membenarkan nama-Nya disekutukan, ia sama dengan maksud pecah amanah. Ingat, "berhentilah daripada berkata tiga (triniti)... berhentilah daripada ucapan itu".

Tidak perlu susah payah mempertahankan pendapat manusia-manusia Muslim (yang menjadi ketua kepada sebilangan Muslim yang lain di negara ini) yang mengizinkan nama Allah disekutukan, hanya perlu tunjukkan satu ayat al-Quran kepada semua iaitu ayat yang mana Allah membenarkan nama-Nya disekutukan oleh kaum kafir dan ayat yang memerintahkan umat Islam redha nama-Nya disekutukan. Tunjukkan cuma satu ayat yang akan membuatkan semua umat Islam terdiam daripada terus memperkatakan isu kalimah Allah dalam bentuk triniti. Tunjukkan ayat itu andai al-Quran teguh sebagai pegangan.
--

Semua yang disebutkan di atas itu berlaku dalam persekitaran demokrasi di negara kita. Terjadi dalam rencah demokrasi machiaveli sehingga sanggup memaksa sebilangan manusia melakukan apa sahaja cara untuk mencapai matlamat politik demokrasi.

Demokrasi menyediakan persekitaran politik yang kucar kacir. Komunis dihidang supaya ia ditolak kerana kelemahannya yang memang dirancang sebegitu lemah. Ia memang dirancang sebegitu supaya ia ditolak pada akhirnya. Namun apabila komunis ditolak, maka demokrasi akan ditawarkan sebagai ubat dan demokrasi akan dipilih bagi menggantikan komunis.

Sebenarnya, isu-isu yang disebutkan di atas pernah dan sedang mengalami twist, fahami isu dan kita tidak akan di-twist. Renung tepat ke arah isu sebenar seperti bermain permainan judi mencari kacang di bawah 3 cawan yang ditelangkup. Apabila gagal memerhati dan merenung tepat dengan penuh fokus terhadap isu, ia seperti mengalami kekalahan pertaruhan ketika membuat tekaan salah terhadap kedudukan kacang di bawah cawan yang salah.

Ingat, jangan sesekali menjadi mangsa dengan membiarkan kewarasan diterbalikkan oleh sang twister yang bersepah dalam apa jua rupa.

Mind Twisting, Twisted Mind
Mind Game, Mind The Game...


TWIST



- DRIFTER -