PERCAYA atau tidak, pemikiran sebilangan besar daripada kita hanya tertumpu kepada duit dan wang. Demi duit, ramai orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan sekeping dua kertas berwarna yang mewakili nilai-nilai tertentu untuk membeli barang.
Friday, 23 September 2011
The Bull and The Bear
PERCAYA atau tidak, pemikiran sebilangan besar daripada kita hanya tertumpu kepada duit dan wang. Demi duit, ramai orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan sekeping dua kertas berwarna yang mewakili nilai-nilai tertentu untuk membeli barang.
Monday, 19 September 2011
Fitnah bertaraf pendapat manusia
Sebaliknya minda pengikut diasuh supaya menerima setiap input maklumat yang diberi oleh pemimpin-pemimpin parti politik tanpa usul periksa oleh sang pengikut yang semakin hari semakin dungu.
Al-Quran adalah pegangan kita, kitab yang kita peluk bersama iman kita. Tetapi dalam menjawab isu itu, kita juga harus berbalik kepada al-Quran. Tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang membenarkan kafir mempersekutukan Allah dan tiada satu ayat pun yang membenarkan umat Islam redha nama Allah disekutukan. Kalau ayat itu memang ada, sila tunjukkan kepada saya.
Sebaliknya, wujud pihak-pihak berkepentingan politik tertentu yang tampil dengan pendapat yang hanya ‘bertaraf pendapat manusia biasa’ yang menuding jari terhadap Perlembagaan Negara yang dikatakan lemah dalam membela umat Islam.
Ia adalah mengenai prinsip kita dan iman kita. Isu itu harus dipandang dengan iman dan prinsip kita. Mengapa mesti ada yang tampil dengan pendapat ‘bertaraf pendapat manusia’ lalu mengatakan ia adalah hak Lina Joy untuk murtad. Mengapa prinsip dan iman harus diletakkan sebaris dengan hak manusia untuk murtad?
Apa jawapan yang mahu diberikan apabila ditanya di hadapan Allah: “Mengapa meletakkan hak manusia melebihi perintah Allah?” “Mengapa meletakkan kelemahan atas orang lain atau perkara lain sedangkan prinsip dan iman kamu sedang berdiri di atas lantai yang lain pula?”
Andai umat Islam tidak sesat (gagal menunjukkan akhlak yang baik) seperti sekarang ini, isu murtad tidak akan timbul. Andai umat Islam tidak sesat (gagal mentaati perintah meng-Esa-kan Allah dalam apa keadaan sekalipun) seperti sekarang ini, isu kalimah Allah di gereja tidak akan timbul.
Andai umat Islam tidak sesat (gagal mengawal nafsu kemewahan) seperti sekarang ini, bencana rasuah dalam kalangan penjawat agensi kerajaan tidak akan berlaku. Andai umat Islam tidak sesat (gagal mencari ilmu) seperti sekarang ini, umat Islam pasti tidak akan mudah mengangguk apabila hak Allah dipijak-pijak.
Lihat di mana kita berdiri. Adakah tempat kita berdiri itu sama ‘tempat’-nya dengan akidah kita, prinsip kita dan iman kita? Adakah prinsip hak manusia mengikut perlembagaan itu lebih mulia daripada kedudukan prinsip kita meletakkan perintah Allah itu yang lebih tinggi? Adakah tolak ansur mengikut pendapat yang ‘bertaraf pendapat manusia’ itu lebih tinggi daripada perintah Allah? Adakah kepala yang mengangguk laju sehingga terpelanting akal itu lebih suci daripada kewarasan yang mengikut perintah Allah?
Jangan melatah tanpa sebab, saya hanya minta tunjukkan satu ayat al-Quran bagi menjawab setiap satu isu tersebut. Jangan melatah tanpa menunjukkan ayat-ayat tersebut. Jangan melatah seperti orang yang hilang adab sopan dalam berbahasa sehingga memaki hamun tanpa menunjukkan ayat-ayat yang saya minta ditunjukkan kepada saya.
Entah di mana silapnya, orang kita sangat suka memaki hamun apabila berbicara mengenai politik. Saya tidak bercakap mengenai politik kepartian dalam artikel ini. Saya hanya bercakap mengenai perintah Allah yang menegah nama-Nya disekutukan, saya bercakap mengenai prinsip dan iman kita dalam menjunjung perintah Allah, lalu saya selitkan isu-isu seperti isu kalimah Allah, isu Lina Joy supaya ditunjukkan satu ayat kepada saya.
Saya tidak suka dengan politik yang bertuhankan demokrasi machiaveli, saya tidak suka dengan sikap sesetengah orang PAS sekarang ini yang semakin longlai menjawab banyak isu, saya juga tidak suka dengan keangkuhan sesetengah orang UMNO, saya juga tidak suka dengan sikap dayus sesetengah orang PEKIDA yang lebih berani ‘mencekik’ leher sesama Melayu tetapi hanya mampu tertunduk apabila berhadapan orang bukan Melayu yang membuat tuntutan yang tidak masuk akal sehingga mengguris hati orang Islam di negara kita, saya tidak suka dengan sikap sesetengah orang PKR yang lebih suka mengelak daripada menjawab banyak isu secara realistik membabitkan isu Islam.
Saya tidak cakap yang saya tidak suka PAS, UMNO dan PKR secara total. Saya hanya berkata bahawa saya tidak suka dengan sesetengah daripada mereka. Juga jangan cepat melatah dalam memahami maksud ini.
Saya hanya mahu Islam diletakkan di tempat yang sepatutnya oleh umat-umatnya di negara ini, dalam isu ini pula saya tidak menyebut ‘sesetengah umat Islam’ tetapi saya maksudkan semua umat Islam di negara ini.
Allah, Tuhan sekalian alam. Kita diperintahkan untuk menyembah-Nya secara total dan perintah itu bukan eksklusif kepada orang Islam sahaja, tetapi perintah itu tertakluk kepada seluruh isi langit dan bumi serta makhluk-makluk yang digelar jin dan manusia.
Meng-Esa-kan Allah adalah perintah yang haq. Mempersekutukan Allah pula adalah perbuatan yang bathil. Mengatakan Allah itu disembah dalam bentuk triniti pula adalah satu fitnah yang sangat besar terhadap Allah dan rasul-Nya iaitu Isa anak Maryam, anak manusia dilahirkan tanpa bapa dengan izin Allah, Isa itu bukan anak Allah. Bukan.
Apabila wujud keadaan di mana umat Islam berkata “lantaklah” kalau nama Allah mahu disekutukan di gereja Nasrani, maka ia juga bermaksud sudah tiada jiwa jihad untuk menentang fitnah yang sangat besar itu.
Tiada lagi roh jihad. Tiada lagi roh dalam diri yang mahu mentaati perintah Allah supaya tidak sesekali mempersekutukan Dia dalam apa keadaan sekalipun termasuk meredhakan nama dia disekutukan di gereja.
Di mana roh iman dan roh jihad itu wahai saudara-saudara semua? Di dalam gereja bersama Roh Kudus yang menjadi salah satu daripada akidah triniti kah?
Ingat, ingat dan terus ingat. Ingat bahawa Nasrani dan Yahudi juga Allah telah tegur dalam al-Quran kerana mempersekutukan Dia. Allah sendiri tidak membenarkan nama-Nya disekutukan dalam apa keadaan sekalipun. Kalau Allah sendiri tidak membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia, jadi apakah hak kita untuk membenarkan Nasrani dan Yahudi mempersekutukan Dia dengan hanya bersandarkan pendapat-pendapat manusia yang hanya ‘bertaraf pendapat manusia’ semata-mata? Apa hak kita untuk meredhakan atau membenarkan nama Allah disekutukan? Apa hak kita? Ingat, ingat dan terus ingat.
Jangan pernah lupa dengan isu ini walaupun ia sudah dianggap basi di kalangan pengikut politik yang bergantung hidup kepada isu-isu sensasi terkini.
Isu kalimah Allah dan isu Lina Joy telah berlangsung dalam periuk kecil bernama ‘politik demokrasi’ di Malaysia. Periuk kecil itu pula menjadi gelanggang para pemain politik dan pengikut mereka untuk memuntah keluarkan semua perintah Allah dalam roh diri mereka supaya menjadi kuah dalam periuk itu. Tanpa sedar, ada api di bawah periuk itu yang akan terus menyala sehingga semua yang berada dalam periuk itu musnah dan mendidih kerana berdiri di tempat yang tidak sepatutnya iaitu meletakkan perintah Allah menjadi lebih rendah daripada hak manusia dan hak tolak ansur dalam beragama.
Saya tidak ambil pusing kalau sesiapa bermain politik demokrasi kerana mahu menjadi ketua dalam kerajaan negara ini asalkan dia itu Islam dan menjunjung tinggi perintah-perintah Allah.
Andai ada puak-puak pengikut politik kanak-kanak atau zombi-zombi politik yang mahu memaki hamun blog ini disebabkan isi kandungan artikel ini yang menempelak sesetengah daripada kamu, saya juga tidak ambil pusing kerana matlamat saya bukan politik yang menjadi santapan harian sesetengah daripada kamu.
Matlamat saya ialah umat Islam perlu menjunjung tinggi perintah Allah melebihi pendapat-pendapat yang ‘bertaraf pendapat manusia’.
Andai ada yang mahu memaki hamun seperti yang saya lihat dalam beberapa blog politik, saya hanya minta ditunjukkan ayat-ayat yang saya minta itu terlebih dahulu. Andai ada ayat-ayat itu dalam al-Quran, barulah kamu boleh memaki hamun saya.
Saya tidak benci PAS walaupun saya kecewa dengan sebilangan pemimpinnya yang bodoh lagi dungu, saya juga tidak benci UMNO walaupun kecewa melihat keangkuhan dan kesombongan sebilangan daripada ahli-ahlinya, tetapi saya kecewa dengan kedua-dua UMNO dan PAS kerana mereka gagal menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam di negara ini yang rata-ratanya ialah orang Melayu seperti saya. Bukan maksud saya UMNO perlu bergabung dengan PAS jika mahu jadi lebih kuat, tetapi kecewa kerana kedua-dua parti politik Melayu yang masing-masing dengan perangai buruk masing-masing itu gagal berbicara seperti orang cerdik dan matang dalam menyelesaikan masalah berkaitan Islam dan perpaduan umat Islam.
Ingat, ingat dan terus ingat. Allah juga memberi amaran supaya berwaspada dengan Yahudi dan Nasrani yang tidak akan pernah redha dengan umat Islam sehingga hari kiamat. Yahudi dan Nasrani tidak akan sesekali redha dengan kita umat Islam. Oleh itu, kenapa redha nama Allah disekutukan mereka sedangkan mereka itu tidak akan pernah meredhai kita?
Bagaimana kita mahu meningkatkan tahap kewaspadaan kita itu? Selesaikanlah masalah yang memecah belahkan umat Islam di negara ini gara-gara politik bodoh semua itu. Politik bodoh itu bukan hanya memijak-pijak perintah-Nya supaya bersatu sebagai saudara se-Islam, tetapi turut memusnahkan kewarasan umat Islam yang menjunjung politik menjadi lebih tinggi daripada segala perintah-Nya.
Fahami betul-betul isi kandungan artikel ini, ia bukan mengenai politik kanak-kanak. Ia mengenai perintah Allah yang sudah dipijak-pijak oleh umat Islam sendiri atas nama politik yang bodoh lagi dungu sehingga tidak lagi mengenali mana satu perintah Allah dan mana satu keghairahan nafsu politik undian.
Lihat semula di mana kita berdiri. Adakah kita berdiri di atas tempat yang diperintahkan-Nya atau di atas tempat yang salah. Lihatlah kepada setiap petunjuk yang telah Dia turunkan, kemudian berfikirlah dengan tenang. Jika pernah membenarkan kaum kafir mempersekutukan nama-Nya dengan berkata “lantaklah”, maka bertaubatlah kerana Allah sendiri tidak membenarkan nama-Nya disekutukan oleh mana-mana manusia.
Berhentilah daripada terus menjadi bodoh. Junjunglah tinggi-tinggi segala perintah-Nya.
Wednesday, 7 September 2011
MASALAH?
DALAM keghairahan mengejar objektif berbentuk material dan kuasa, ramai perlahan-lahan berubah menjadi semakin leka dan alpa serta lupa. Menjadi alpa semasa gigih berusaha menyelesaikan masalah masing-masing, menjadi leka mengejar cita-cita sendiri, menjadi lupa kepada objektif sebenar (prime objective) yang mengatasi segala objektif-objektif minor yang lain. Mesti ada sebab yang menyumbang kepada perubahan kita menjadi lupa dan alpa. Mesti ada sebab. Mesti.
Katakan, kita dihujani masalah, kemudian berusaha menyelesaikan masalah-masalah itu. Mahu atau tidak mahu, masalah itu perlu diselesaikan dan jika tidak segera diselesaikan, fikiran kita akan terus bercelaru. Masalah itu mungkin melibatkan bayaran ansuran kereta, rumah, pinjaman bank dan sebagainya yang terdiri daripada angka-angka yang mewakili urusan jual beli. Angka-angka itu pula semakin menyesakkan dan perlu diselesaikan setiap bulan selama bertahun-tahun dan berpuluh-puluh tahun.
Fikiran hanya tertumpu kepada seribu satu cara untuk menyelesaikan masalah yang tidak pernah selesai walaupun diselesaikan setiap bulan. Dalam masa yang sama, setiap orang pula menetapkan objektif masing-masing dalam kehidupan seharian. Objektif itu pula perlu difikirkan untuk memastikan ia tercapai dengan beberapa cara yang difikirkan sesuai. Sekali lagi akal fikiran bekerja untuk membantu kita mencapai objektif pencapaian dalam kehidupan selain objektif kewangan. Akal menjadi semakin penat bekerja.
Apabila fikiran hanya berperanan memikirkan kepada masalah-masalah dan objektif-objektif dalam kehidupan, ia lama kelamaan bertukar menjadi suatu fokus. Fikiran dipusatkan kepada satu arah yang memerlukan kita mencapai setiap perkara yang perlu segera diselesaikan. Hampir setiap masa, fikiran akan mengira wang, jumlah hutang, objektif hidup, apa mahu makan hari ini dan sebagainya. Hanya itu yang difikirkan. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.
Ligat memikirkan wang yang tidak cukup untuk mengisi petrol atau diesel kenderaan, ligat lagi memikirkan barang-barang dapur yang semakin berkurangan ketika tiba pertengahan bulan, terus ligat memikirkan bayaran hutang pinjaman yang tertunggak, bil telefon, ligat memikirkan kos hidup yang sentiasa meningkat akibat kedunguan kerajaan mengatur strategi bagi membantu memantapkan ekonomi isi rumah.
Para lepasan universiti pula ligat memikirkan ‘hutang yang automatik tercipta’ sebaik sahaja menamatkan pengajian dengan bantuan pinjaman PTPTN yang mencekik darah. Golongan yang sama juga ligat memikirkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang ‘setimpal’ dengan pengajian tinggi semasa di universiti, berfikir dan berfikir kenapa masih menganggur dan hanya mampu bekerja sambilan dengan gaji kecil yang tidak mampu membeli apa sahaja barangan dalam kategori mewah seperti rakan-rakan mereka yang lain. Berfikir dan terus berfikir.
Kumpulan peniaga yang berniat mahu memperbesarkan perniagaan pula ligat berfikir untuk mendapatkan tambahan modal selepas gagal mendapat pinjaman daripada bank-bank perdagangan. Ada yang ambil keputusan membuat pinjaman daripada ceti-ceti haram dan akhirnya terhimpit dengan pelbagai ancaman selepas gagal menyelesaikan kadar bunga yang semakin menggunung. Berfikir ligat untuk menyelesaikan masalah hutang ahlong walaupun niat itu baik untuk jihad memakmurkan ekonomi keluarga dengan menceburi perniagaan, terhimpit dan terhimpit, berfikir dan terus berfikir. Semua itu mesti ada sebab. Mesti.
Ada pula yang ligat berfikir apa lagi cara untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan ada pula yang terpaksa menggadai tanah hanya untuk melangsai hutang kad kredit bank-bank komersial. Jika tidak diselesaikan segera, akan berdepan dengan pengisytiharan muflis. Ligat berfikir, adakah akan muflis hanya semata-mata kerana hutang kad kredit yang pada asalnya hanya $5,000 dan beranak pinak menjadi puluhan ribu ringgit, dolar, jutaan rupiah, atau apa-apa gandaan hutang dalam apa-apa mata wang sekalipun akibat faedah atau bunga kad kredit yang memeritkan. Orang-orang kita ligat berfikir mengenai masalah-masalah yang melanda diri mereka dalam urusan seharian. Semua itu sungguh memenatkan.
Ada yang sanggup mencuri kerana tekanan hidup untuk menyelesaikan masalah wang, ada yang menipu, ada yang menjual dadah, ada yang menjual harga diri dan banyak lagi perkara-perkara salah yang dilakukan hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit diri. Semua itu mesti ada sebab mengapa ia berlaku.
Setiap masalah yang melanda, mesti ada sebab-sebabnya. Apakah sebab-sebab itu wahai saudara-saudara. Adakah sebab semua barang di dunia ini perlukan wang? Adakah sebab kita hanya perlu berhutang barulah kita boleh hidup seperti orang lain? Adakah sebab kita perlu hidup bergaya walaupun terpaksa dibebani hutang hingga akhirnya papa kedana? Adakah sebab sistem mata wang ini memang menekan hidup kita? Apa sebab-sebabnya wahai saudara-saudara yang dihormati semua? Apa?
Teringat kepada satu kisah nabi. Nabi memberi kita satu panduan yang sangat berguna untuk menyelesaikan masalah-masalah itu semua. Nabi pulang ke rumah dan bertanya kepada Aisyah mengenai apakah yang ada untuk dimakan pada hari itu. Aisyah memberitahu, tiada makanan untuk dijamah pada hari itu. Nabi membalas, “kita berpuasa sunat sahaja hari ini”. Selesai masalah. Pahala pun dapat.
Ada banyak yang boleh dipelajari daripada kisah sependek itu. Kisah pendek itu juga amat membantu kita membuka kewarasan terhadap menilai semula masalah-masalah yang kita hadapi pada hari ini.
Kita dan fikiran kita hanya tertumpu kepada masalah, masalah dan masalah. Atas sebab itu, kita hanya berfikir mengenai bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah itu tanpa menghalakan fikiran ke arah sudut satah yang sewajarnya. Disebabkan ligat berfikir masalah yang bakal mendatang, impian bisnes tergendala kerana tidak berani menganggung risiko yang sebenarnya boleh dihitung.
Bangun pagi, celik mata, sudah mula berfikir mengenai masalah. Solat Subuh pun jadi tidak fokus kerana fikiran bercelaru dengan masalah, masalah dan masalah. Jadi apa sebenarnya yang kita fikirkan sehingga hidup menjadi tidak keruan wahai saudara semua?
Kita hanya fokus memikirkan kantung duit dan kehendak nafsu sehingga menjerumuskan kita ke dalam pelbagai masalah yang menyesakkan ketenangan fikiran. Itulah masalah kita semua apabila gagal menentukan kepentingan mana yang lebih penting melebihi lain-lain kepentingan. Fikiran kita gagal fokus kepada kepentingan yang sepatutnya ia berfikir dengan cara yang sepatutnya. Akibatnya, fikiran kita memilih tanpa sedar untuk hidup diselubungi masalah, masalah dan masalah.
Tanpa kita sedar, masalah yang kita sedang hadapi itu dijadikan pula sebagai peluang kepada orang lain untuk mencapai cita-cita mereka sama ada cita-cita kewangan, kedudukan atau sebagainya.
Katakan Ali ada masalah wang, ia jadi peluang kepada Ah Choo untuk menawarkan pinjaman kepada Ali. Akibatnya Ali terjerat hutang dengan lintah darat. Ah Choo pula memang sedia hidup bermasalah diselubungi permusuhan kongsi-kongsi gelap. Kongsi gelap pula mempunyai masalah dengan polis yang menguatkuasakan undang-undang. Polis pula menghadapi masalah untuk mengawal kongsi-kongsi gelap itu semua dan lain-lain kes jenayah yang berpunca daripada kehendak nafsu manusia yang menginginkan wang. Disebabkan wang, ada juga polis terjerat masalah rasuah.
Ah Choo pula ada masalah dengan isterinya, jadi Steven ada peluang untuk menawarkan khidmat pelacur kepada Ah Choo. Kemudian Ah Choo dibelenggu pula masalah jangkitan HIV. Semuanya berputar dalam darjah masalah yang tersendiri. Ia berputar disebabkan oleh satu masalah yang kemudian membuahkan masalah-masalah yang lain. Akibatnya, masalah yang bermula dengan satu ‘letusan’ kecil akan terus meledakkan hidup semua orang. Semua orang akan terus berfikir dan berfikir bagi menyelesaikan masalah masing-masing yang berpunca daripada kantung duit dan kehendak nafsu.
Nabi sudah mengajar kita, kalau tiada apa untuk dijamah, lebih baik berpuasa sunat. Ia juga pada masa sama akan mendidik nafsu. Apabila nafsu terdidik dengan baik, jiwa akan mendekati sifat sabar. Sabar juga membantu jiwa akur kepada ketentuan dan menjadi tenang. Tenang pula membantu kita berfikir dengan baik. Berfikiran baik pula membantu kita menjadi bebas sebebasnya daripada masalah-masalah dan prasangka-prasangka dunia. Cukup sempurna, yang diajar oleh nabi kita memang cukup sempurna. Bersegeralah selawat dan salam kepada baginda.
Melalui kisah pendek itu juga, nabi mengajar kita untuk memilih jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah melalui cara berfikir yang terbaik. Mudah, kalau tiada makanan, kita berpuasa. Pilihannya ialah berpuasa dan nabi tidak memilih cara lain untuk menyelesaikan masalah itu walaupun akan pasti ada orang yang memberi makanan kepada baginda sekiranya baginda meminta sedikit makanan daripada mereka.
Nabi memilih untuk berpuasa sebagai jalan penyelesaian. Nabi akur kepada ujian Allah yang menentukan tiada makanan untuk baginda dan isterinya Aisyah pada hari itu, lalu nabi berserah kepada Allah dan nabi pilih ke jalan Allah untuk menyelesaikan masalah itu, jalan itu ialah berpuasa sunat ke jalan Allah. Menangislah berselawat ke atas nabi. Sesungguhnya nabi telah mengajar kita cara terbaik untuk menyelesaikan masalah iaitu kembali kepada Allah yang Maha Pemurah dalam menentukan urusan rezeki-Nya ke atas kita. Usah terlalu fikir masalah dan cara penyelesaiannya, rezeki itu urusan Allah.
Andai terus fokus berfikir mengenai kantung duit dan kehendak nafsu, sampai dunia kiamat pun tidak akan pernah selesai. Lebih parah, pihak lain pula akan dipersalahkan apabila kita sendiri yang memilih untuk dibebani masalah.
Kalau saudara-saudara semua mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi, renungi dan teladani kisah pendek yang pernah dilalui nabi ketika hayat baginda. Jika mahu mengelak daripada dihujani masalah-masalah kantung dan nafsu, juga perlu teladani kisah pendek itu. Kisah teladan yang memberi perubahan besar kepada hidup. Contohi nabi, maka sempurnalah kehidupan.
Saya tidak mahu menyediakan jawapan kepada bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kantung duit yang saudara semua hadapi. Pesan saya cuma satu, belajarlah daripada nabi kita yang seluruh zaman dikasihi oleh seluruh isi langit dan bumi.
Don’t get twisted and tangled by problems which occurred by our ownselves..
-ADMIN-